Sindiket penipuan Facebook tumpas, empat ditahan

Sindiket penipuan Facebook tumpas, empat ditahan

Polis menumpaskan satu sindiket penipuan melalui laman sosial Facebook setelah menahan empat lelaki rakyat asing dan dua wanita tempatan di sekitar ibu negara melibatkan kerugian RM1.11 juta dalam Ops Tiong semalam.

Polis menumpaskan satu sindiket penipuan melalui laman sosial Facebook setelah menahan empat lelaki rakyat asing dan dua
wanita tempatan di sekitar ibu negara melibatkan kerugian RM1.11 juta dalam Ops Tiong semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Syed Ismail Syed Azizan berkata dua rakyat Afrika dan dua Bangladesh serta dua wanita yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 33 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kepong ekoran laporan polis oleh seorang wanita berumur 48 tahun di Kota Kinabalu, Sabah Mac lepas.

“Dua warga Bangladesh yang ditahan adalah pekerja kepada suspek utama yang juga seorang warga Afrika,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata modus operandi sindiket terbabit ialah dengan memancing mangsa secara berkenalan melalui Facebook dan selepas beberapa minggu suspek akan memperdaya mangsa dengan memberitahu beliau mendapat projek dengan Petronas dan menunggu baki pembayaran daripada Petronas berjumlah kira-kira RM4.6 juta.

“Suspek pada awalnya meminta pertolongan mangsa untuk menggunakan akaun bank mangsa bagi menerima sejumlah wang daripada apa yang dikatakan kontrak yang telah diperoleh daripada Petronas.

“Lelaki itu mendakwa terdapat caj insurans dan duti stem yang perlu dibayar sebelum dia boleh mendapatkan kontraknya yang benilai kira-kira RM4.6 juta itu,” katanya.

Syed Ismail berkata susulan penangkapan itu, polis merampas wang tunai lebih RM15,000, 18 kad ATM pelbagai bank, tujuh telefon bimbit dan sebuah komputer riba.

Beliau berkata kesemua suspek yang kini ditahan reman disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 1,114 kes penipuan menerusi internet dilaporkan di seluruh negara melibatkan kerugian RM3.12 juta.

– Bernama