Khabar angin pemburu organ manusia cemaskan penduduk Kuching

Khabar angin pemburu organ manusia cemaskan penduduk Kuching

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata ia adalah berita palsu kerana sehingga kini polis tidak menerima laporan daripada “mangsa”.

Polis hari ini meminta orang ramai agar tidak panik dengan berita yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook bahawa ada “pemburu organ” di bandar raya Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong berkata ia adalah berita palsu kerana sehingga kini polis tidak menerima laporan daripada “mangsa” kepada “pemburu” tersebut yang dikatakan mencuri buah pinggang dan hati.

“Ini hanya khabar angin. Jangan panik bila terima SMS sebegini. Siasat dulu sama ada benar atau tidak,” katanya. Mun juga menggesa pihak berkenaan menghentikan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan panik dan ketakutan pada kalangan masyarakat.

Berita itu yang dikesan disebarkan petang semalam antara lain menggesa orang ramai agar berhati-hati apabila dihampiri orang tidak dikenali meminta mereka menghidu sesuatu kerana mereka mungkin menjadi mangsa kepada “pemburu organ” yang kononnya datang dari China.

“Pemburu organ” itu dikatakan mencuri buah pinggang dan hati untuk dijual.

— Bernama