Penguatkuasa, polis trafik PJ pantau kerosakan lampu isyarat kritikal

Penguatkuasa, polis trafik PJ pantau kerosakan lampu isyarat kritikal

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang untuk mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat bersama Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi mengatasi masalah kerosakan lampu isyarat sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya teruk pada waktu kemuncak.

gambar hiasan muhammad-el-fateh.blogspot.com

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang untuk mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat bersama Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi mengatasi masalah kerosakan lampu isyarat sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya teruk pada waktu kemuncak.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman berkata  cadangan itu akan dibincangkan bersama anggota unit penguatkuasa  dan polis trafik  secepat mungkin.

Menurutnya ia memandangkan pihak berkuasa merupakan salah satu jawatankuasa dalam mesyuarat  trafik daerah ini.

“Kita memahami masalah kekangan dihadapi pengguna kenderaan pada waktu kemuncak sebelah petang, kita cuba mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah dihadapi kebaikan semua pengguna kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis penuh di ibu pejabat MBPJ, hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata beliau akan meminta jurutera MBPJ mempercepatkan laporan kerosakan lampu jalan memandangkan setakat ini pihaknya masih belum terima laporan.

Menurutnya berdasarkan keputusan diperolehi daripada laporan tersebut, barulah pihaknya dapat mengenalpasti jenis kerosakan.

“Katakanlah seandainya lampu isyarat tak boleh diperbaiki lagi, lebih baik kita beli baru dan terus pasang, antara kerosakan seperti lampu rosak dan kabel pendawaian tidak berfungsi,” jelasnya.

Selain itu, Roslan mendapati kerosakan lampu isyarat terjadi apabila hujan, mungkin berpunca daripada sistem saluran tidak diselenggara dengan baik walaupun kontraktor dilantik memperbaiki kerosakan tersebut.

“Anggota penguatkuasa dan polis trafik ini akan memantau serta mengawal aliran jalan raya di kawasan kritikal seringkali mengalami kerosakan lampu isyarat sahaja.

“Antara kawasan kritikal di Kota Damansara, kita menerima maklumat daripada ahli majlis sebanyak 13 tiang lampu rosak serta tidak berfungsi,” katanya.