Lelaki Filipina mengaku tidak bersalah kerana memiliki MyKad palsu

Lelaki Filipina mengaku tidak bersalah kerana memiliki MyKad palsu

Sejak kebelakangan ini, kejadian kes pemilikan MyKad palsu semakin menjadi-jadi terutamanya di Sabah. Pada bulan lalu seorang wanita di penjara selama 6 bulan atas kesalahan yang sama.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu telah menetapkan 5hb Mei sebagai tarikh perbicaraan seorang lelaki Filipina yang didakwa menyimpan MyKad palsu pada bulan lepas.

Ridwan Rahim, 47, tidak mengaku bersalah di hadapan hakim Nuruhuda Mohd Yusof atas dakwaan memiliki Mykad palsu yang bernombor 641108-12-5009 yang membawa nama Ahmad Basri Ahmad Andi.

Dia dikatakan telah melakukan perbuatan tersebut pada jam 11.30 malam pada 4hb Mac di Jalan Bundusan, Penampang dan didakwa dibawah Seksyen 25 (1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda diantara RM3,000 dan RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 25 Mac lepas, satu kes sama telah dibicarakan di Mahkamah Majistret Sandakan yang melibatkan seorang wanita warganegara asing yang berjaya memperolehi MyKad palsu.

Nora A.Mustaham, 33, mengaku bahawa beliau berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri My Kad dengan nama Dorina Dancil. My Kad yang bernombor 750414-12-5392 dikesan di Kuala Lumpur, apabila beliau membeli tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan.

Walaupun berjaya menaiki pesawat ke Sandakan, Nora telah ditahan oleh pihak imigresen yang mendapati bahawa My Kad tersebut adalah palsu semasa beliau  berada di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Batu 7 Sandakan.

Namun demikian, Nora hanya dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan.

Gary Louis Supi