Tindakan tegas tangani isu di kompleks pasar besar Meru

Tindakan tegas tangani isu di kompleks pasar besar Meru

Setiausaha MPK, Ikhsan Mukri berkata antara isu itu ialah terdapat segelintir peniaga yang berniaga di luar pasar, peniaga yang tidak mempunyai lesen dan kehadiran warga asing yang menjalankan operasi mereka di situ.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengambil tindakan terhadap beberapa permasalahan yang wujud di Kompleks Pasar Besar Meru sejak kebelakangan ini yang telah mengganggu operasi para peniaga di situ.

Setiausaha MPK, Ikhsan Mukri berkata antara isu itu ialah terdapat segelintir peniaga yang berniaga di luar pasar, peniaga yang tidak mempunyai lesen dan kehadiran warga asing yang menjalankan operasi mereka di situ.

Menurutnya tindakan bersepadu melibatkan beberapa jabatan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat disamping pemantauan berterusan daripada majlis di pasar berkenaan.

“Selain daripada permasalahan ini, keceriaan pasar juga akan ditingkatkan bagi membolehkan pengunjung dan peniaga dapat berurusan dengan selesa.

“Malah isu peniaga warga asing juga akan ditangani secara serius dan pada masa yang sama peniaga tempatan juga diingatkan untuk memberi kerjasama untuk tidak menyewakan lesen kepada mereka (peniaga asing),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Bersama Peniaga Pasar Besar Meru di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Pelesenan, Azhar Samsudin dan ketua-ketua jabatan yang terlibat.

Pada dialog itu, pelbagai masalah lain diutarakan antaranya tandas kotor,lampu jalan tidak berfungsi, tempat letak kereta dijadikan ruang niaga dan kemudahan infrasruktur seperti tangga yang berisiko kepada pengguna di situ.