Dua lelaki bersenjata melarikan lori treler di Mentakab

Dua lelaki bersenjata melarikan lori treler di Mentakab

Dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu panjang melarikan sebuah lori treler yang penuh dengan muatan baja kelapa sawit selepas mengikat tangan dan mulut seorang pengawal keselamatan dalam satu kejadian samun di sebuah kawasan perindustrian di Mentakab.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Nordin Mustapha, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 pagi apabila pengawal keselamatan yang berumur30 tahun itu memeriksa kawasan premis syarikat berkenaan selepas terdengar bunyi sesuatu.

“Pengawal keselamatan itu kemudian diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu panjang, yang masing-masing menutup muka mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata selepas mengikat tangan dan mulut pengawal keselamatan itu, suspek terus melarikan sebuah treler milik syarikat berkenaan, dan menurutnya treler serta muatannya itu dianggar bernilai RM200,000.

Nordin berkata syarikat berkenaan pernah kehilangan sebuah lori tanpa muatan pada 8 Mac lepas, dan pada 31 Mac pula ia kehilangan sebuah lagi lori dengan muatan baja kelapa sawit yang bernilai RM48,000.

– Bernama