Penunggang motorsikal mati dalam kemalangan di Segaliud

Penunggang motorsikal yang terlibat di dalam kemalangan tersebut, terkorban di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa, Hasanuddin Mohd Kassim, 21, sedang menunggang motorsikal apabila secara tiba-tiba bertembung dengan sebuah lori tiga tan yang datang daripada arah bertentangan berhampiran dengan kawasan Segaliud.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner (ACP), Rowell Marong berkata, siasatan awal mendapati bahawa lori tersebut telah memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang Segaliud.

Menurutnya Rowell lagi, mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan pulang dari Kinabatangan menuju ke Sandakan.

“Pihak polis telah menghantar mayat lelaki berkenaan ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat, dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kes tersebut di bawah Seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987.” kata Rowell lagi sambil menambah bahawa kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10 pagi.

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE