Berang VCD dirampas, tonto serang penguatkuasa

Sekumpulan tonto haram bertindak ganas dengan menyerang, mengepung, menggugut serta cuba melanggar anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang telah menyita barangan milik penjaja haram semasa operasi di sekitar pasar malam dekat sini.

Lantaran bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam, salah seorang anggota penguatkuasa membuat dua laporan polis di Balai Polis Pandan Indah, Isnin lepas.

Menurut laporan pengadu, pada 3 Mac lalu, beliau bersama lima anggota unit bahagian penjaja pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengadakan operasi pasar malam berkaitan VCD dan penjaja haram di Taman Melawati jam 9.40 malam.

“Kami bertindak menyita barangan dan mendapati diekori sebuah kereta dalam perjalanan menuju stor simpanan MPAJ Pandan Indah.

“Selepas itu, kami meneruskan operasi menyita lebih kurang 4 papan VCD beserta kaki meja milik peniaga haram di Pandan Cahaya berhadapan kedai serbaneka kira-kira 10.30 malam,” katanya.

Beliau mendakwa, berlaku pergelutan antara anggota penguatkuasa dan peniaga VCD terbabit yang enggan memberikan kerjasama dan menghalang tugas mereka.

Berang dengan tindakan penguatkuasa, menurutnya, peniaga VCD itu  kemudiannya telah menghubungi kawan-kawannya yang berada di luar kawasan.

“Semasa dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat MPAJ, sebuah kereta dipercayai milik tonto VCD haram bertindak mengekori van dinaiki kami sehingga ke aras empat bangunan.

“Kereta tersebut cuba melanggar anggota yang turun daripada van dan berlaku kekecohan di mana kami telah dikepung oleh kumpulan tonto namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” dakwanya lagi.

Menceritakan lebih lanjut, tambahnya, insiden itu tidak berakhir begitu sahaja.

Malah, beliau dan rakan setugasnya menerima panggilan ugutan daripada individu tidak dikenali.

“Apa masalah you? Kenapa you rush tempat I dua kali? U tau I siapa? sekarang i mau jumpa U!,” jelasnya.

Namun begitu, beliau mendakwa apabila mahu pulang ke rumah selepas selesai kerja jam 12 tengah malam beberapa buah kereta mengekori keretanya sehingga ke stor  di Pandan Indah.

Atas faktor keselamatan dan bimbang kumpulan tonto mengetahui rumah kediamannya, beliau dan pemandu van terpaksa bermalam di stor sehingga keesokan harinya.

Mengulas lanjut, sewaktu kejadian berlaku anggota penguatkuasa cuba mendapatkan bantuan balai polis berdekatan tetapi gagal.

“Timbul persoalan, bagaimana tonto boleh mengetahui nombor telefon bimbit kami.

” Pihak berkuasa  perlu memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ‘ancaman’ dan ‘ugutan’ dihadapi penguatkuasa saban hari dalam usaha menjalankan tugas diamanahkan tanpa prejudis,” ujarnya.