RM269 juta untuk program Azam Niaga

RM269 juta untuk program Azam Niaga

Kerajaan terus konsisten dalam membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada belenggu kemiskinan melalui program Azam Niaga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil berkata hari ini bahawa Program Azam Niaga, yang terletak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), bertujuan membantu golongan miskin dan miskin tegar menjanakan pendapatan sendiri.

“Cara terbaik untuk bantu mereka adalah melalui program azam, bantu cari kerja…dia nak berniaga ke, bertani ke, khidmat ke…sebab ramai orang miskin mereka mahu diberi peluang dan kemahiran, selain keperluan kewangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Muhibbah bersama komuniti Kampung Kilang Berapi, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian akan mengkaji bentuk perniagaan yang ingin dijalankan sebelum memberi bantuan sewajarnya selepas mengenal pasti peserta yang mendaftar melalui program e-kasih.

Antara bantuan yang diberikan adalah pinjaman kewangan, bantuan membeli peralatan niaga, latihan kemahiran, program motivasi serta perakaunan.

Beliau berkata kementerian bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berfungsi menguruskan pinjaman peserta menerusi dana yang disediakan oleh kerajaan.

“Kita bagi geran kepada mereka (peserta) antara RM5,000 dana RM75,000 mengikut keperluan dan syarat yang ditetapkan,” kata Shahrizat.

Pada majlis hari ini, dua orang peserta Azam Niaga menerima bantuan iaitu Hamzah Ibrahim yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Abdul Wahid Mohd Aziz daripada golongan berpendapatan rendah.

KPWKM telah memulakan program Azam Niaga pada Jun tahun lepas melibatkan golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan sebanyak RM269 juta bagi tempoh tiga tahun.

Setakat ini 214 peserta daripada 7,869 yang berdaftar telah memulakan perniagaan dengan bantuan pinjaman berjumlah kira-kira RM2.14 juta.

Kementerian turut mensasarkan untuk membantu seramai 14,000 lagi peserta Azam Niaga pada tahun ini.

Program Azam Niaga merupakan satu cabang gerakan 1Azam selain Azam Khidmat dan Azam Tani yang berlandaskan konsep pemacuan produktiviti dan pengurusan bantuan, bagi mengangkat taraf kehidupan golongan miskin dan miskin tegar.

– Bernama

Mereka yang ingin menyertai program 1AZAM mestilah mereka daripada golongan miskin tegar dan miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih di www.ekasih.gov.my

Untuk maklumat lanjut, sila layar laman web http://www.kpwkm.gov.my/nkra/soalan