16 CCTV baru dipasang di bandar Klang

16 CCTV baru dipasang di bandar Klang

Orang ramai juga digalakkan untuk sentiasa berhubung dengan majlis melalui Talian Bebas Tol Aduan 1800-88-23826 atau 03-33714404 bagi membolehkan pihaknya menangani setiap aduan yang berkaitan dengan efisen dan berkesan, ujar Mislan.

Mislan (duduk) diberi penerangan tentang operasi CCTV di sekitar Klang

Sebanyak 16 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang bagi kemudahan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat khususnya di kawasan ini sejak dua bulan lepas.

Yang di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mislan Tugiu berkata kewujudan CCTV itu membuktikan keprihatinan majlis terutama melibatkan pemantauan jenayah, aliran trafik dan bencana alam serta pelbagai persediaan lain di sini.

Menurutnya, CCTV itu juga menepati ciri-ciri bandar selamat selain fungsi yang pelbagai terutama melibatkan bidang tugas berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“ Malah, ia akan membantu melicinkan operasi majlis terutama dalam menghadapi kemungkinan antaranya banjir, ribut dan kesesakan jalan terutama di kawasan-kawasan tertentu.

“Malah kita juga akan meningkatkan tahap operasi dari masa ke semasa bagi memastikan CCTV ini benar-benar bermanfaat untuk masyarakat di bandar di raja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan CCTV oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Teknologi Maklumat MPK,Nor Hasyimah Tamziz,Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan,Zaireezal Ahmad Zainudin dan wakil dari GTC Global Sdn Bhd.

Mislan berkata, sebuah pusat kawalan juga telah beroperasi di situ dan akan mengawasi kawasan-kawasan berkenaan dengan bekerjasama polis terutama melibatkan kes-kes berkaitan jenayah.

“Orang ramai juga digalakkan untuk sentiasa berhubung dengan majlis melalui Talian Bebas Tol Aduan 1800-88-23826 atau 03-33714404 bagi membolehkan pihaknya menangani setiap aduan yang berkaitan dengan efisen dan berkesan,” tegasnya.