Pelacuran berleluasa di Kampung Air

“Mau amoi ka boss?” Begitulah ungkapan yang sering diucapkan oleh wanita-wanita yang rata-ratanya kelihatanya masih berusia belasan tahun dan awal 20-an.

Kampung Air
Kampung Air

By Gary Louis Sapi

“Mau amoi ka boss?” Begitulah ungkapan yang sering diucapkan oleh wanita-wanita yang rata-ratanya kelihatanya masih berusia belasan tahun dan awal 20-an. Mereka-mereka ini menjadikan ruang kaki lima berdekatan dengan Maybank di Kampung Air sebagai tempat mereka beroperasi dan menunggu pelanggan. Dan apabila adanya kaum Adam yang melewati ruang tempat mereka berkumpul, tiada di antara mereka yang akan terlepas daripada godaan yang datangnya daripada tubuh yang montok, jelingan manja , pakaian seksi dan kata-kata yang menggoda.

Pada mereka yang lemah imannya, sudah tentu hatinya akan lentur dan sanggup mengeluarkan wang diantara RM50 hingga RM100 bagi tujuan memuaskan nafsu mereka. Namun demikian, bukan semua hajat yang diharapkan oleh lelaki-lelaki berhidung belang ini akan kesampaian. Malahan ada yang kerugian berlipat kali ganda akibat menjadi mangsa perdaya oleh pelacur-pelacur tersebut yang berasal daripada Indonesia.

Seorang lelaki berbangsa Suluk yang hanya mahu dikenali sebagai Arrufah, 52 tahun, memberitahu wartawan Komunitikini bahawa ramai lelaki telah menjadi mangsa mereka. Malahan, ada di antara mereka yang tidak sempat menjamah lauk-lauk tersebut di samping kehilangan sejumlah wang yang banyak.

Arrufah berkata,” Sudah ramai yang kena. Perkara ini memang ada berlaku tapi tidak diketahui orang. Yang sudah kena tu, manalah dorang mau cerita sama orang lain, kan? Malu ba tu”

Apa yang berlaku ialah, setelah mangsa bersetuju untuk membeli perkhidmatan gadis-gadis tersebut, mereka akan dibawa naik ke sebuah hotel yang juga terletak di kawasan Kampung Air. Apabila mangsa menanggalkan pakaian didalam bilik tersebut, gadis itu akan menerima panggilan daripada penjaga  melalui telefon bimbit  memaklumkan bahawa polis datang untuk membuat pemeriksaan mengejut. Gadis itu kemudiannya dengan nada yang cemas menyuruh lelaki tersebut lari melalui pintu belakang bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.

“Sudah tentu lelaki-lelaki ini menjadi panik dan kelam –kabut. Siapa yang tidak takut bila berkeadaan begitu?,” kata Arrufah sambil ketawa.

Menurutnya lagi semua itu hanya taktik semata-mata untuk mewujudkan keadaan cemas supaya pelanggan-pelanggan tersebut takut danlari meninggalkan tempat itu dengan segera.

Apa yang berlaku ialah salah satu daripada penjaga pelacur-pelacur tersebut terlebih dahulu akan bersembunyi dibawah katil dan apabila pelanggan tersebut menanggalkan pakaian, dia akan segera menyeluk tangan kedalam poket baju, seluar atau dompet mangsa untuk mencuri wang atau barangan berharga yang lain. Dalam keadaan yang cemas ini, mereka tidak akan terfikir akan wang mereka kerana di dalam fikiran mereka hanya ingin lari dari situ.

“Ada yang kehilangan ratusan malahan mencecah ribuan ringgit namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa setelah menyedari bahawa mereka telah tertipu,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui perkara tersebut, Arrufah dengan selambanya mengakui bahawa beliau juga pernah bekerja sebagai penjaga pelacur di tempat-tempat lain. Ada diantara penjaga pelacur-pelacur di kawasan Kampung Air yang sudah lama dikenalinya dan mereka inilah yang memaklumkan hal ini kepadanya.

Perkara ini telah berlaku lama dan ramai yang telah menjadi mangsa, namun akibat merasa malu atau kekurangan bukti, maka hasrat untuk mengetengahkan perkara ini dibiarkan begitu sahaja.

Seorang rakan wartawan yang enggan namanya disebut ketika ditemui berkata bahawa perkara ini pernah berlaku pada seorang rakannya yang kehilangan sejumlah wang sebanyak RM550 pada malam tersebut.

Ketika rakannya dan pelacur itu telah menanggalkan pakaian mereka, tiba-tiba dia kedengaran bunyi bising di tingkat bawah dan berlarutan sehingga ke tingkat dimana dia berada. Seorang lelaki secara tiba-tiba mengetuk pintu bilik mereka dengan kuat dan berteriak “Ada polis, ada polis”.

“Ketika itu dia menjadi kelam kabut kerana tidak mahu ditangkap. Dengan pantasnya dia memakai semula pakaian dan lari keluar dari bilik menuju pintu belakang yang ditunjukkan oleh pelacur tersebut.”

“Dia lari dari tempat itu sejauh yang mungkin dan hanya menyedari kehilangan wang tersebut apabila dia duduk di kedai minum. Dia belum sedar yang dia telah terpedaya. Hanya beberapa hari kemudian baru dia terfikir yang dia telah ditipu,” katanya sambil menambah bahawa rakanya itu juga terfikir akan kemungkinan berlaku keciciran semasa dia kelam kabut membawa dirinya keluar dari situ.

Arrufah mengesahkan bahawa taktik mewujudkan keadaan cemas ini dilakukan secara kerjasama diantara kesemua pelacur-pelacur tersebut dengan penjaga-penjaga mereka.

“Bermula dari tingkat bawah sehinggalah keatas mereka akan berlakon. Sememangnya dorang-dorang ni memang pelakon yang baik,” katanya sambil menegaskan bahawa taktik ini hanya dilakukan sekali sekala bagi mengelakkan ia daripada dihidu pelanggan.

Mungkin ramai yang tidak tahu akan hal ini dan diharapkan agar pendedahan ini akan membuatkan orang ramai lebih berhati-hati terutamanya lelaki-lelaki berhidung belang.

Bagi mereka yang sudah terkena terutamanya yang telah berkeluarga, anggaplah ini sebagai pengajaran atau peringatan untuk tidak mengulanginya lagi.

Arrufah berasal daripada Zamboanga, Filipina dan berhijrah ke Sabah 30 tahun yang lepas. Sepanjang tempoh ini, beliau telah melakukan banyak kerja termasuklah sebagai penjaga pelacur-pelacur di bandar-bandar lain di negeri ini.

Ketika ditanya samada beliau akan kembali bekerja sebagai penjaga pelacur, Arrufah dengan selambanya menyatakan pekerjaan itu adalah haram disisi agamanya.

Bahasa isyarat yang ditunjukkan oleh badan, muka dan gerak-geri lelaki berkulit gelap ini sudah cukup memberikan jawapan bahawa beliau kini telah bertaubat dan hanya ingin melakukan pekerjaan yang halal.

“Pekerjaan ini adalah salah di sisi agama saya. Banyak perkara tidak baik yang telah saya lakukan dalam hidup saya. Kini, saya sudah sedar dan hanya ingin mendekatkan diri padaNya. Kalau ada kesempatan, saya juga mahu bawa rakan-rakan lain membuat kerja-kerja halal,” katanya sambil tidak menolak pelawaan wartawan untuk duduk minum secawan kopi di kedai yang terletak di di kawasan Kampung Air.

Gary Louis Supi