Premis kedai makan, stesyen minyak sekitar Klang dipantau

Premis kedai makan, stesyen minyak sekitar Klang dipantau

Pemeriksaan tersebut bagi menentukan pemenang untuk menjuarai ‘Pertandingan Kebersihan Premis Makanan & Stesyen Minyak 2010’ yang akan disempurnakan Januari 2011.

Beberapa orang pegawai pemeriksa yang telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini sedang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kebersihan premis makanan dan stesyen minyak terpilih seluruh Daerah Klang.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata dengan adanya pemantauan daripada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pengusaha premis makanan dan stesyen minyak  akan menjaga kebersihan premis dan persekitaran untuk kepentingan kesihatan umum.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan itu melibatkan kantin sekolah, gerai-gerai MPK, restoran francias, restoran berhawa dingin dan stesyen minyak.

“Sistem penggredan adalah mengikut pemarkahan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan MPK iaitu gred C untuk premis yang menerima markah 50 hingga 70, gred B untuk markah 71 hingga 84, manakala markah dari 85 hingga 100 bagi gred A,”

(Gambar hiasan)

“Pihak pemeriksa akan membuat pemeriksaan dan kemudian menampalkan pelekat mengikut gred di setiap premis yang telah diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Komunitikini, hari ini.

Pemeriksaan tersebut bagi menentukan pemenang untuk menjuarai ‘Pertandingan Kebersihan Premis Makanan & Stesen Minyak 2010’ yang akan disempurnakan Januari 2011.

Norfiza berkata, sekiranya hasil pemeriksaan mendapati kebersihan premis tidak memuaskan, notis untuk membersihkan tandas akan diberikan kepada pemilik premis dan ia perlu dibersihkan secara serta-merta.

Menurutnya, peringkat awal pemeriksaan secara berperingkat telah pun dibuat mulai awal tahun ini di setiap premis oleh Jabatan Kesihatan MPK dan 10 daripadanya telah terpilih dengan markah yang tertinggi.

“Pihak Jabatan Kesihatan telah mengadakan pertandingan ini sejak 2001 yang bertujuan meningkatkan tahap kebersihan premis perniagaan di daerah ini,” tambahnya.

Beliau berharap pengusaha premis di daerah ini mengambil peluang keemasan ini, ia dapat memberi impak yang besar terhadap premis dengan terpampangnya gred A yang meyakinkan pelanggan untuk mengunjungi premis mereka di samping ‘Sijil Premis Bersih’ yang bakal dimiliki.

“Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan mendapat hadiah bernilai RM750 dan RM500,”

“Saya percaya dengan adanya pertandingan ini, dengan gred yang bakal dipampang di setiap premis yang telah diperiksa menarik perhatian pengusaha-pengusaha untuk mengekalkan kebersihan seterusnya menarik lebih ramai pelanggan yang datang,” katanya.