Polis buru suspek utama kegiatan pecah rumah sekitar S`gor

Polis sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kegiatan pecah rumah di sekitar Seri Kembangan, Cheras dan Kajang ekoran penahanan lima rakannya pada 27 Okt lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan berkata lelaki itu ialah Lee Yuen Soon, 37, atau lebih dikenali sebagai Ah Soon yang dipercayai ketua kumpulan tersebut yang alamat terakhirnya ialah No. 134 Jalan SK 3/6 43300
Seri Kembangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkan maklumat di Balai Polis Seri Kembangan atau menghubungi terus Sarjan Mohd Adnan di talian 013-3444771,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Seri Kembangan hari ini.

Beliau berkata polis menjejaki lelaki terbabit selepas lima rakannya yang berumur antara 30 hingga 40 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan yang dijadikan pusat kegiatan mereka.

“Kesemua mereka ditahan ketika selesai melakukan kegiatan pecah rumah. Ketika serbuan, dua dari mereka berada di ruang tamu, seorang di bilik belakang dan dua lagi di bilik atas,” katanya.

Thaiveegan berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas pelbagai barangan berharga termasuk dua buah kereta jenis Toyota Camry, 11 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, 10 kunci kereta pelbagai jenis yang belum digunakan dan peralatan pecah rumah dengan nilai rampasan keseluruhan RM290,000.

Beliau berkata modus operandi mereka ialah melakukan pecah rumah pada waktu pagi.

“Suspek akan membuat pemerhatian awal sebelum melakukan pecah rumah. Mereka memasuki rumah dengan cara merosakkan pagar automatik dan gril serta pintu hadapan rumah serta menggunakan pistol palsu untuk menakutkan penghuni rumah,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti itu sejak setahun lalu dengan lebih 10 buah rumah telah dipecah masuk.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, kesemua mereka mempunyai 10 rekod jenayah lampau antaranya pecah rumah, curi dan mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

Katanya reman kesemua suspek yang berakhir hari ini akan disambung selama tujuh hari hari lagi dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

-BERNAMA