Tiga sahabat mengaku tidak bersalah mencuri gaun

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah mencuri gaun

Mereka didakwa bersama-sama mencuri tiga helai gaun berwarna hitam yang keseluruhannya bernilai RM1,000.

Tiga sahabat mengaku tidak bersalah diMahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri gaun di sebuah butik pakaian terkenal, dua hari lepas.

Tiga wanita itu, Sim Look Seng, 61, Lee Siew Wan, 48, dan Sim Geok Ee, 57, didakwa bersama-sama mencuri tiga helai gaun berwarna hitam yang keseluruhannya bernilai RM1,000 di Butik Warehouse, Lot 2.64 Pavillion, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.15 petang, 24 Okt lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chew Zi Xian menawarkan jaminan RM5,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam S. Narasimhan yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 setiap seorang.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Wang jaminan ketiga-tiga tertuduh itu dibayar oleh anak masing-masing.

– Bernama