200,000 batang kayu bakau diseludup, kerugian RM2 juta

200,000 batang kayu bakau diseludup, kerugian RM2 juta

Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2juta sebulan akibat aktiviti pembalakan kayu paya bakau secara haram yang berleluasa di 13 buah pulau sekitar Perairan Klang

Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2 juta sebulan akibat aktiviti pembalakan kayu paya bakau secara haram yang berleluasa di 13 buah pulau sekitar Perairan Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, ia berikutan permintaan tinggi daripada kontraktor yang menggunakan kayu berkenaan sebagai cerucuk dalam sektor pembinaan bangunan di negeri ini.

Menurutnya, setiap bulan dianggarkan sebanyak 200,000 kayu paya bakau diseludup keluar oleh pekerja warga asing yang didakwa didalangi oleh warga tempatan.

Difahamkan, setiap kayu bakau yang ditebang secara haram dijual pada harga antara RM7 sehingga RM10 sebatang dan mendapat permintaan tinggi daripada kontraktor pembinaan.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja rugi malah jika kecurian ini berlarutan ekosistem payau bakau di Perairan Klang akan terjejas,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di Pulau Ketam berikutan aduan aktiviti pembalakan kayu paya bakau secara haram, baru-baru ini.

See also  Two new CarlsBot machines for a greener Sabah

Justeru itu, beliau meminta Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan dalam bajet 2011 untuk pelaksanaan kerja-kerja pemantauan ke atas aktiviti pembalakan kayu paya bakau secara haram.

Katanya, perkara ini akan dibincangkan secara teliti dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

“Aktiviti ini sukar dibendung kerana agensi berkaitan iaitu JPNS kekurangan pegawai sedangkan jumlah pembalak haram terlalu ramai.

Sehubungan itu, operasi bersepadu bersama agensi lain perlu dilaksanakan seberapa kerap yang boleh dan kita berharap orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu membantu kita menyelesaikan masalah yang dihadapi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Mohd Yussainy Md Yusop berkata pihaknya telah menyita 300,000 batang kayu bakau yang ditebang secara haram sepanjang tahun ini.

See also  Zurich Malaysia expands climate resilience program

Menurutnya, setakat ini sebanyak RM50,000 batang kayu bakau telah berjaya dipunggah keluar dan dijual secara lelong kepada orang ramai.

“Setakat ini kita telah menangkap 17 individu yang terlibat dalam aktiviti haram ini dan lima daripada mereka telah didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan oleh Majistret Klang.

“Selain operasi bersepadu melibatkan agensi lain, kita turut membakar rumah-rumah kongsi yang dibina secara haram oleh warga asing di kawasan ini bagi mengusir mereka yang dipercayai turut menceroboh serta mencuri bakau,” katanya.

Tonton video: Batang kayu diseludup, kerugian RM2 juta | 6:43 oleh Fadzly Esa