Penduduk gesa bina pondok polis elak jenayah ragut

P26-05-10_14.41

Jenayah ragut melibatkan pengguna motosikal dilihat semakin berleluasa di Jalan Railway 2/28 Seksyen 1 dan 2 Petaling Jaya.

Komunitikini mendapat aduan daripada Pengerusi  Rukun Tetangga Seksyen 3, Shamsuddin Hassan memberitahu sering kali berlaku jenayah ragut di kawasan tersebut.

caps

Menurutnya, jenayah ragut dikatakan berlaku sekitar jam 6.00 pagi ketika penduduk mahu pergi ke tempat kerja.

“Dalam mesyuarat MPP bulan lepas, pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) menyatakan persetujuan kepada penduduk untuk membina pondok polis di dalam kawasan milik KTM.

“Sekiranya pondok Polis dibina, secara tidak langsung dapat mengurangkan jenayah ragut dan remaja yang tidak mempunyai lesen motosikal melalui jejantas tersebut,”katanya  yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 15 dan 16 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tinjauan Komunitikini dikawasan tersebut mendapati, laluan jejantas motosikal menghubungkan kawasan perumahan seksyen 1 dan 2 bersempadan dengan kawasan Taman Medan.

Jejantas tersebut menjadi laluan utama pengguna motosikal berulang alik serta menghubungkan lebuh raya NPE.

Terdahulu, portal berita ini  pernah melaporkan beberapa kawasan perumahan sekitar Lembah Klang menjadi tumpuan utama jenayah ragut.

DSC_1320

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 2, Yap Kian Keong tidak terkecuali menjadi mangsa ragut.

Walaupun memegang jawatan sebagai pengerusi, Kian Keong memberitahu Komunitikini bahawa dirinya pernah menjadi mangsa ragut sebanyak dua kali.

Menurutnya kejadian terbaru berlaku pada akhir  Februari lalu.
“Kira-kira jam 10.40 pagi, saya diserang oleh empat orang lelaki menaiki motosikal bersenjatakan parang berhampiran kawasan perumahan.

DSC_1321
“Kepala saya ditetak dengan parang dan bernasib baik tiada kecederaan serius berlaku,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, apa yang paling menyedihkan ialah apabila kejadian berlaku,  penduduk yang menyaksikan kejadian berkenaan hanya mampu memerhatikan dari jendela, setelah peragut beredar, barulah mereka keluar rumah dan pura-pura bertanya.

“Bagaimana pula sekiranya situasi itu diterbalikkan, kejadian itu berlaku dirumah mereka, sementara saya hanya duduk memerhatikan sahaja, apa perasaan mereka pada ketika itu,”katanya dalam nada kesal.

Katanya lagi, semangat kejiranan dalam masyarakat pada hari ini juga semakin terhakis dan sudah tiada nilai perpaduan yang kukuh.

“Seharusnya kita memupuk semangat kejiranan dengan  mengenali jiran tetangga serta memberikan bantuan kepada mereka pada waktu kecemasan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu hukuman berat dikenakan ke atas peragut kerana hukuman  sedia ada  tidak memberikan kesan kepada mereka.

“Saya cadangkan peragut dikenakan hukuman penjara paling maksimum dan perlu melakukan kerja-kerja komuniti setelah dibebaskan.

“Hukuman sebat dikhalayak ramai juga mungkin berkesan kerana boleh menimbulkan keinsafan kepada peragut dan anggota masyarakat,”katanya.