Kebanjiran warga asing ancam keselamatan penduduk

Kebanjiran warga asing ancam keselamatan penduduk

Oleh Ahmad Fadzly Esa

Kebanjiran warga asing di kawasan perumahan sekitar Lembah Klang dilihat mencetuskan fenomena kebimbangan di kalangan penduduk setempat.

Ia berikutan semakin kerap berlakunya kegiatan jenayah seperti ragut dan pecah rumah dilakukan oleh warga asing pada masa kini.

Salah seorang peniaga, Mark Onn Lin, 59, ketika ditemui tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir warga asing yang menetap di kawasan perumahan sekitar terlibat dalam kejadian jenayah seperti ragut dan pecah rumah.

Namun katanya, sejak kebelakangan ini kejadian jenayah melibatkan warga asing dilihat semakin berkurangan berikutan rondaan yang dilakukan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kebanjiran warga asing di kawasan ini tidak dapat dinafikan kerana kebanyakan mereka menyewa di sekitar kawasan perumahan di sini.

“Namun apa yang membimbangkan, jika tidak dikawal, jumlah mereka akan bertambah dan mengatasi penduduk tempatan,” katanya yang mengusahakan perniagaan kedai runcit di Pasar Seri Setia lebih kurang setahun yang lalu.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Chan Kam Ling, 70, turut berkongsi pendapat yang sama.

Menurutnya, hukuman berat dan penjara paling maksimum mampu memberi pengajaran kepada masyarakat terutamanya remaja supaya tidak melakukan jenayah ragut.

“Kebanyakan yang terlibat dalam jenayah ini adalah golongan yang terdesak seperti penagih dadah.

“Justeru, peranan ibu bapa amat penting dalam mendidik anak supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan najis dadah,” katanya.

Bagaimanapun, lain pula terjadi kepada seorang penjual bunga, L Jayati, 31, yang menceritakan pengalamannya menjadi mangsa ragut kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, semasa kejadian tersebut, mereka menghampiri kedai dan terus merampas beg tangan yang diletakkan di atas meja.

“Pada ketika itu, saya sibuk melayan pelanggan yang datang ke kedainya tanpa menyedari dua warga asing dengan pantas mengambil beg tangannya.

Katanya,sebelum ini dia pernah memerhatikan gelagat warga asing yang berada di atas kedainya, ternyata mereka sudah lama merancang dan memerhatikan gerak geri dirinya.

“Selepas kejadian itu, saya semakin berhati-hati dan tidak membawa jumlah wang yang banyak,” katanya yang kehilangan wang tunai berjumlah RM5,000 dalam kejadian tersebut.