Plaza Angsana: 1,500 orang hadir himpunan tanah rakyat

JOHOR BAHRU – Setiausaha TANAH, Suhaizan Kaiat berkata, tanah-tanah yang dirampas atas nama pembangunan harus dikembalikan kepada rakyat yang berhak.

Seramai lebih kurang 1500 orang menghadiri protes Himpunan Tanah Rakyat yang dianjurkan oleh  Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) yang bertujuan untuk menuntut tanah-tanah yang diambil oleh kerajaan negeri dikembalikan kepada rakyat.

Setiausaha TANAH, Suhaizan Kaiat berkata, tanah-tanah yang dirampas atas nama pembangunan harus dikembalikan kepada masyarakat yang berhak.

Beliau berasa kesal dengan kerajaan Barisan Nasional yang gagal memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat Malaysia dalam isu Pulau Batu Putih dan pemberian tanah milik KTM kepada Singapura.

“Jelas tidak ada ketelusan dalam urusan pemberian tanah KTM kepada republik itu” katanya lagi.

Turut hadir bersama adalah, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali  sebagai CheguBard berkata, tanah rezab Melayu yang diwartakan oleh pemerintahan British seketika dulu, kini sudah hampir ‘hilang’ dijual oleh Umno kepada kroni-kroni mereka.

Tanah rezab Melayu yang seluas 3 juta ekar, kini cuma tinggal 1 juta ekar sahaja kerana angkara Umno menjual tanah itu kepada kroni kroni kapitalis yang bersekongkol dengannya, tambah beliau.

Manakala, mengikut seorang lagi penceramah, Hassan Karim yang juga seorang peguam berkata,  tanah yang telah dirampas daripada rakyat turut diberikan kepada individu tertentu untuk kepentingan individu tersebut.

Antara contohnya , kata Hassan Karim, tanah Pelabuhan Johor di Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Tanjung Kupang  yang kini dimiliki oleh jutawan  Syed Mokhtar Al Bukhary serta kawasan Pantai Lido dan Sungai Danga yang dimiliki oleh ahli peniagaan Lim Kang Hoo.

Bukankah ini jelas menunjukkan kerajaan telah menipu dan merampas tanah milik rakyat atas nama pembangunan dan  memberikan tanah kepada individu yang berkepentingan untuk memilikinya, kata beliau.

Sementara itu, Ketua DAP Johor dan ADUN Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyerahkan tanah-tanah yang ingin dibangunkan kepada badan perniagaan seperti Dewan Perniagaan Melayu, Cina ataupun India untuk dimajukan agar keuntungannya dapat dinikmati bersama.

Protes ini juga mempertengahkan rintihan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa kehilangan tanah di Johor termasuklah daripada generasi kedua peneroka Felda dari Tangkak dan Bukit Gambir.

 

 

 

 

Saminathan