Rais: Media perlu sebar mesej anti-rasuah

Rais: Media perlu sebar mesej anti-rasuah

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta media massa terus memainkan peranan dalam menyebarkan mesej anti-rasuah kepada masyarakat.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta media massa terus memainkan peranan dalam menyebarkan mesej anti-rasuah kepada masyarakat.

Beliau berkata bagi tujuan itu, stesen televisyen dan radio nasional, RTM, akan mempelbagaikan isian dalam siaran mereka sama ada melalui program televisyen, drama, telemovie dan sebagainya.

“Mesej-Mesej antirasuah ini hendaklah ditujukan kepada murid sekolah, orang kampung, pemimpin jabatan, politik dan lain-lain,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pengumuman Khidmat Awam (PSA) AntiRasuah dan Malam Penghargaan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Rais berkata mesej antirasuah mesti pendek dan padat agar lebih berkesan, dan beliau mencadangkan agar media massa menggunakan ungkapan menarik tokoh negara mahupun selebriti bagi tujuan tersebut.

“Kita akan cari penjanaan baru agar penyampaian mesej ini dapat diperkasakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Putrajaya New Straits Times Farrah Naz Karim memenangi Anugerah Wartawan Terbaik manakala Utusan Malaysia dinobatkan Agensi Media Terbaik dalam membuat liputan dan memberi sumbangan positif terhadap usaha memerangi rasuah serta menaikkan imej dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis Suhana Mohd Nor diumum pemenang tempat pertama Pertandingan Video PSA AntiRasuah manakala Noor Syazwani Hillmy dari Universiti Teknologi MARA (kedua) dan Izzad Amir Abdul Karim dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (ketiga).

Mereka antara 14 peserta dari 10 institusi pengajian tinggi seluruh negara yang menyertai pertandingan bertemakan ‘Corruption is About Harm’ yang diadakan pada 13 Julai hingga 15 Okt lepas.

– Bernama