Kelantan sedia 31,118 anggota penyelamat

Kelantan sedia 31,118 anggota penyelamat

Kelantan menyediakan 31,118 anggota penyelamat dalam menghadapi musim tengkujuh.

Kelantan menyediakan 31,118 anggota penyelamat dalam menghadapi musim tengkujuh.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd Roslee Mamat berkata untuk menghadapi musim banjir kini, semua agensi menyelamat sedang melakukan persiapan peringkat akhir.

“Semua jabatan sudah buat persediaan terutama sekali dari segi kelengkapan. Jabatan penyelamat utama iaitu seperti pihak tentera akan menyediakan segala aset mereka termasuk bot dan kenderaan darat dan sebagainya.

“Begitu juga polis, bomba, penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya kepada pemberita semalam.

Dari segi logistik, katanya, sebanyak 281 kenderaan darat disediakan termasuk lori, coaster dan pacuan empat roda.

Mohd Roslee berkata selain itu sebanyak 134 bot dan jet ski disediakan bagi menghadapi banjir dan tujuh buah helikopter disediakan untuk pengangkutan udara.

Beliau berkata keupayaan itu mampu menampung 150,000 mangsa banjir di negeri itu dengan menyediakan 729 pusat perpindahan sementara untuk mangsa banjir di seluruh daerah di negeri itu.

Sementara itu, beberapa air sungai di negeri itu naik berikutan hujan lebat pada lewat malam sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan ke kawasan mudah banjir di Sungai Golok, Rantau Panjang mendapati paras air mula naik ke peringkat amaran, iaitu naik kepada 10 meter berbanding peringkat amaran lapan meter.

Paras sungai Kelantan di pusat bacaan Tambatan Diraja, di sini, juga meningkat mencatatkan 4.31 meter dan paras amarannya ialah empat meter.

– Bernama