Jogathon untuk bantu pelajar di SMK Tun Fuad, KK

Satu larian Jogathon anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Tun Fuad telah diadakan pada Sabtu lepas.

Acara ini, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Hj Lajim Bin Hj Ukin, telah disertai oleh peserta dari dalam dan luar sekolah.

Seorang peserta menyatakan bahawa penganjuran seumpama itu sememangya baik kerana ia menggalakan aktiviti bersukan dikalangan pelajar dan juga orang awam.

“Laluan jogathon yang meliputi kawasan perkampungan membolehkan kami sebagai peserta meninjau kawasan tersebut dengan lebih dekat,” kata peserta tersebut.

“ Walaupun kami berlari melalui perkampungan tersebut, tapi ia adalah suatu ia adalah pengalaman yang baik dan kami melihatnya dari perspektif yang berlainan,” tambah peserta itu lagi sambil melahirkan harapan untuk menyertai Jogathon tersebut lagi pada tahun hadapan.

Seorang lagi orang awam yang ditemui berkata dia menyertai larian tersebut sebagai senaman untuk dirinya.

“Bagi saya, menang atau kalah bukan ukuran sebab tujuan saya adalah untuk kesihatan. Saya berharap akan dapat turut serta lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Jogathon tersebut bermula di pekarangan SMK Taman Tun Fuad pukul 7.30 pagi. Ia meliputi laluan sepanjang hampir 10km yang melalui Kampung Sukang , Kampung Mampai dan juga Taman Tun Fuad.

Tujuan penganjuran Jogathon ini adalah untuk menambah dana dan membantu pihak sekolah menjayakan program yang dirancang terutamanya bagi para pelajar yang kurang berkemampuan.

Selain itu, ia juga untuk menambah dana yang sedia ada bagi tujuan membeli van sebagai kemudahan pengangkutan untuk pelajar-pelajar yang mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Kali pertama Jogathon ini diadakan adalah pada tahun lepas. Manakala tahun ini merupakan kali yang kedua.

Larian Jogathon tersebut menyaksikan peserta berusia 65 tahun, David Santi, menang kategori lelaki terbuka. Tempat kedua adalah Mohd Erwan Kassim dan tempat ketiga adalah Jackie Jamior.

Manakala dalam kategori perempuan terbuka pula dimenangi oleh Esther Perng, diikuti oleh Joanna Uhen Tan dan ditempat ketiga adalah Nur Syuhadi Naquiyah.

Kategori-kategori lain yang dipertandingkan adalah Veteran Ibu, Lelaki bawah 18 tahun dan 15 tahun, dan Perempuan bawah 18 dan 15 tahun.