Penjualan rumah MPSJ tidak laris

Penjualan rumah MPSJ tidak laris

Penjualan rumah rakyat oleh MPSJ tidak menggalakkan kerana hanya 22 unit daripada 222 unit yang telah dijual setakat April lepas.

Penjualan rumah rakyat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tidak menggalakkan kerana hanya 10 peratus atau 22 unit daripada 222 unit sahaja yang telah dijual setakat April lepas.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 prestasi penjualan yang tidak menggalakkan adalah disebabkan penyewa yang tidak berminat untuk membeli.

Selain itu, timbul kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bank bagi tujuan pembiayaan pembelian rumah kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh bank, menurut laporan yang merangkumi aktiviti jabatan/agensi dan pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor tahun 2010 yang diedarkan di sini hari ini.

Menurut laporan itu: “Rumah yang tidak dijual akan menyebabkan MPSJ berterusan menanggung kos penyelengaraan, caj perkhidmatan serta tunggakan sewa.”

Laporan itu juga mendapati pengurusan program rumah rakyat MPSJ mempunyai beberapa kelemahan termasuk kutipan sewa tidak mencapai sasaran dan mencatat tunggakan berjumlah RM391,271.

“Selain itu, terdapat tunggakan caj utiliti yang tinggi berjumlah RM205,611, penyelenggaraan yang tidak memuaskan, perjanjian sewa tidak ditandatangani dan prestasi penjualan rumah rakyat yang rendah,” menurut laporan itu.

Bagi mengatasi tunggakan caj utiliti, laporan itu mencadangkan agar MPSJ meletakkan nama penyewa pada bil utiliti dengan segera.

– Bernama