Penduduk Casmaria merayu “green lung” diselamatkan

Oleh Khaulah Azwar

Sekitar lebih 5,000 penduduk di kawasan Taman Samudera merayu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ‘turun padang’ bagi menyelamatkan kawasan lapang yang sepatutnya diperuntukkan untuk kawasan permainan penduduk.

Penduduk-penduduk meliputi kawasan Taman Selasih, Pangsapuri Casmaria, Pangsapuri Fiona, Taman Sri Batu Caves dan beberapa taman lain, kini mengigit jari akibat kerakusan pembangunan dibuat sehingga mereka tiada tempat untuk beriadah.

Kebimbangan rakyat dinyatakan dengan jelas, wujudnya kemungkinan penyelewengan tatacara pembahagian dan pecahan tanah di kawasan tersebut, yang dilakukan sejak zaman kerajaan UMNO- BN semasa pemerintahan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

Sehubungan itu, rakyat di kawasan tersebut menghantar memorandum ke pejabat MB Selangor, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang juga Adun Gombak Setia dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali untuk tindakan segera pihak berkenaan.

Dalam memorandum yang diwakili Persatuan Penduduk Pangsapuri Casmaria (PPPC), Pengerusinya, Mejar (B) Wanchik Morad memohon Kerajaan Negeri dengan segera mengeluarkan arahan “stop work order” ke atas pemaju dengan memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga siasatan terhadap penyelewengan dan penipuan terhadap pembeli selesai dijalankan.

Penduduk juga meminta MB Selangor menyerahkan semula tanah lapang kepada MPS untuk dijadikan kawasan lapang “green lung” bagi kegunaan lain-lain kemudahan penduduk di masa hadapan.

Ini kerana katanya, mengikut Akta Tanah Selangor, setiap pemaju harus memperuntukkan “green lung”, yang tidak boleh dimajukan apa-apa bangunan di atasnya, bagi menampung keperluan rakyat.

“Kami memohon kerajaan negeri menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan rasuah yang melibatkan pegawai di Pejabat Daerah Tanah dan Galian dan memohon Pihak MPS dan pemaju menyelesaikan isu Hak Milik Strata dengan segera,” tegasnya.

Mejar (B) Wanchik juga berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengajukan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuat siasatan ke atas kemungkinan wujudnya elemen rasuah yang membabitkan Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dalam memorandum tersebut, Mejar (B) Wanchik juga menggesa Kerajaan Negeri supaya menyiasat dan mengenakan tindakan ke atas pegawai Pejabat Tanah dan Pihak MPS yang terlibat, serta mengenakan tindakan saman dan disenaraihitamkan terhadap Pemaju Tenaga Ehsan Sdn Bhd sekiranya terbukti bersalah.