Khir Toyo: Saya beli rumah ikut nilai pasaran

Khir Toyo: Saya beli rumah ikut nilai pasaran

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau membeli
dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni dengan harga pasaran.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau membeli
dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni dengan harga pasaran.

Dr Mohamad Khir, yang memilih memberi keterangan dari kandang saksi,  berkata harga belian itu (RM3.5 juta) dipersetujui oleh Shamsuddin sendiri  sebelum ataupun semasa kedua-dua mereka menandatangani perjanjian jual beli  bagi urusan pembelian rumah itu pada Mei 2007.

Ketika ditanya peguam M.Athimulan yang mewakili Dr Mohamad Khir bahawa  sebelum ataupun semasa tandatangani perjanjian jual beli, adakah Shamsuddin  memberitahu Dr Mohamad Khir harga belian tidak cukup, beliau menjawab: “Tidak  pernah”.

Beliau turut memberitahu pihaknya tidak mendesak ataupun mempengaruhi  pemikiran Shamsuddin bagi membolehkan Shamsuddin bersetuju dengan harga belian RM3.5 juta.

Dr Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga  RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki sedang berjalan.

– Bernama