Pengambilan tanah di Bukit Bintang untuk Projek MRT ditangguh sementara

Pengambilan tanah di Bukit Bintang untuk Projek MRT ditangguh sementara

Pengambilan sembilan lot tanah di kawasan Bukit Bintang untuk pembangunan Projek Mass Rapid Transit Lembah Kelang Jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT) Klang Valley-Sungai Buloh-Kajang tidak akan diteruskan sehingga 15 September.

Pengambilan sembilan lot tanah di kawasan Bukit Bintang untuk pembangunan Projek Mass Rapid Transit Lembah Kelang Jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT) Klang Valley-Sungai Buloh-Kajang tidak akan diteruskan sehingga 15 September.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini melanjutkan penangguhan interim terhadap pengambilan sembilan lot tanah itu sehingga tarikh tersebut.

Pada 5 Ogos dua pemilik tanah berdaftar dan tiga syarikat menfailkan permohonan penangguhan untuk semakan kehakiman bagi mencabar pengambilan sembilan lot tanah itu oleh kerajaan.

Dua pemilik tanah berdaftar itu ialah LTS Resources Holdings (M) Sdn Bhd dan Pedoman Cekap Sdn Bhd manakala tiga yang lain ialah syarikat induk T.S.Law Corporation serta dua subsidiarinya; LTS Properties (M) Sdn Bhd dan LTS Capital
Sdn Bhd.

Mereka mendapat penangguhan sementara pengambilan tanah itu pada 23 Ogos sehingga hari ini.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk memberikan keputusannya mengenai permohonan penangguhan oleh lima pemohon itu.

Peguam bagi kelima-lima pihak itu Su Tiang Joo memberitahu wartawan bahawa hakim Abang Iskandar Abang Hashim menangguhkan keputusan kepada 15 Sept kerana beliau masih memerlukan masa.

Beliau berkata pada masa yang sama pengambilan tanah itu yang dijadualkan pada 9, 13 dan 14 Sept ditangguhkan sementara menunggu keputusan.

Dalam permohonan mereka kelima-lima pemohon menamakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, kerajaan Malaysia, dan pentadbir tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Mereka antara lain memohon perintah bagi membatalkan kelulusan responden bagi pengambilan tanah mengikut Seksyen 3E(1) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Dalam permohonan itu syarikat induknya T.S. Law Corporation berkata syarikat itu berhasrat membangunkan pusat perniagaan di kawasan Bukit Bintang sejak hujung 1990.

Selaras dengan hasrat itu, pemohon pertama melalui anak syarikatnya iaitu LTS Resources dan Pedoman Cekap, masing-masing pemohon ketiga dan kelima secara beransur-ansur membeli tanah sebanyak 30 lot dari tahun 1999 hingga 2011 pada jumlah melebihi RM130 juta.

Pemohon-pemohon berkata memandangkan Projek MRT dicadangkan untuk beroperasi di bawah tanah, maka tiada keperluan untuk mengambil mana-mana bahagian permukaan tanah itu.

– Bernama