Seorang ibu bebas tuduhan perdagang dua wanita Indonesia

Seorang ibu bebas tuduhan perdagang dua wanita Indonesia

Seorang wanita ahli perniagaan hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan
memperdagangkan dua wanita warga Indonesia tahun lepas.

Seorang wanita ahli perniagaan hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan
memperdagangkan dua wanita warga Indonesia tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan  gagal membuktikan kes prima facie terhadap How Ah Oong, 47, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Rozina berkata tiada laporan perubatan ke atas kedua-dua mangsa yang menunjukkan bahawa mereka telah dipukul atau mengadakan hubungan seks kerana pegawai penyiasat Inspektor Hafiz Ahmad gagal membawa mangsa ke hospital untuk
pemeriksaan.

Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kurungan salah terhadap kedua-dua mangsa kerana mereka tidak mengadu telah dikurung  ketika kejadian, dan Inspektor Hafiz, yang juga saksi ketujuh dalam kes itu,  tidak dapat memastikan mangsa telah dipaksa melacurkan diri.

“Siasatan yang dilakukan oleh pegawai penyiasat dalam kes ini kurang memuaskan kerana ketika serbuan dilakukan, pegawai penyiasat memaklumkan terdapat lapan warga asing di tempat kejadian tetapi keterangan daripada mereka tidak diambil kerana kesemua mereka didakwa pulang ke negara asal.

“Bagaimanapun, tiada dokumen yang mengesahkan mengenai perkara itu,” kata Rozina.

How didakwa memperdagangkan Yulia Citra, 31, dan Arab Kandokong Madik, 22, bagi tujuan eksploitasi di Kafe Rumah Mas No 26A, Jalan Taman Mayang Mas BM1/2, Taman Mayang Mas, Kelana Jaya di sini pada 9.30 malam 3 Mac 2010.

Ibu kepada enam orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta  Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwnaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan  manakala tertuduh diwakili peguam Suraj Singh.