Denggi: Dua kematian dicatatkan minggu lepas

Denggi: Dua kematian dicatatkan minggu lepas

Seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di Sabah dan seorang pekerja wanita sebuah restoran berumur 27 tahun di Negeri
Sembilan dilaporkan meninggal dunia akibat demam denggi minggu lepas.

Seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di Sabah dan seorang pekerja wanita sebuah restoran berumur 27 tahun di Negeri
Sembilan dilaporkan meninggal dunia akibat demam denggi minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Hasan Abdul Rahman berkata kedua-dua kes itu disebabkan komplikasi jangkitan demam denggi berdarah.

“Tempat kediaman dan sekolah bagi kes kematian di Sabah didapati mempunyai pembiakan nyamuk aedes, dan sekolah itu telah dikenakan kompaun maksimum RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kawasan kediaman bagi kes di Negeri Sembilan turut didapati mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi. Sejumlah 343 kes dilaporkan bagi tempoh 31 Julai hingga 6 Ogos tahun ini, penurunan sebanyak 34 kes atau sembilan peratus berbanding 377 kes dengan tiada kematian minggu sebelumnya.

Enam negeri mencatatkan peningkatan kes berbanding minggu lepas iaitu Sarawak sebanyak tujuh kes, Perak (6), Kuala Lumpur/Putrajaya (6), Kelantan (4), Perlis (2) dan Sabah (1).

Sementara itu, sebanyak 12,373 kes dilaporkan dari Januari hingga 6 Ogos tahun ini, dan ia menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus atau 17,130 kes berbanding 29,503 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, 21 kematian akibat denggi dilaporkan, penurunan 78 peratus berbanding 94 kematian pada 2010.

– Bernama