Pasar raya disamun, rugi hampir setengah juta

Enam lelaki melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM500,000 dari sebuah pasar raya di Batu 6, Jalan Gambang di Kuantan awal pagi semalam.

Para perompak dikatakan mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas di situ sebelum memasuki pasar raya berkenaan melalui pintu belakang.

Menurut Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, kejadian berlaku kira-kira 1.30 pagi.

“Enam lelaki berkenaan bersenjatakan parang, pisau dan batang besi turut menutup muka mereka dengan kain.

“Setelah mengikat kedua-dua pengawal keselamatan tersebut, kesemua mereka masuk ke bahagian pejabat sebelum memecahkan peti besi dan melarikan wang tunai yang merupakan hasil kutipan hujung minggu pasar raya berkenaan,” katanya.

Noor Asyikin berkata kejadian tersebut dilaporkan setelah pengawal keselamatan itu berjaya melepaskan diri daripada ikatan pada 4 pagi sebelum membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading.

– Bernama