Suami isteri mengaku tidak bersalah bantu pertubuhan haram

Suami isteri mengaku tidak bersalah bantu pertubuhan haram

Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, terhadap memberi bantuan kepada Bersih 2.0, mereka didakwa mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, terhadap memberi bantuan kepada  Bersih 2.0.

Abdul Lateb Jaafar, 51, dan isterinya Rosnani Ibrahim, 48, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norazah Idris.

Mereka dituduh secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram iaitu Bersih 2.0 dengan membawa lima helai kemeja-T berwarna kuning bertulis Bersih 2.0 dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran KAS 9494 di satu sekatan jalan raya di jalan Kubang Rotan, Kuala Kedah pada 9.05 malam 2 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu pada tempat dan masa sama, secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa lima helai kemeja-T berwarna kuning bertulis Bersih 2.0 dalam sebuah kereta bernombor
pendaftaran KAS 9494 untuk kegunaan perhimpunan Bersih yang akan diadakan pada 9 Julai ini pukul 2 petang.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Majistret menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, manakala Abdul Lateb dan Rosnani diwakili peguam Shariman Othman dan Hasani Hashim.

– Bernama