’80 hari ditangkap tanpa penjelasan’

’80 hari ditangkap tanpa penjelasan’

Sekumpulan keluarga yang berbeza menuntut penjelasan polis terhadap penangkapan lima saudara mereka 80 hari lalu yang sehingga kini didakwa masih tidak jelas statusnya.

Sekumpulan keluarga yang berbeza menuntut penjelasan polis terhadap penangkapan lima saudara mereka 80 hari lalu yang sehingga kini didakwa masih tidak jelas statusnya.

Ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, lima lelaki itu ditangkap jam 7 hingga 8 malam di kawasan tempat letak kereta di kompleks membeli-belah Jaya Jusco, Taman Equine di Sri Kembangan pada 4 April lalu.

Dakwanya, walaupun dua laporan polis dibuat sehari selepas itu, pihak keluarga masih gagal mendapatkan maklumat berhubung tangkapan itu dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Serdang dan balai polis Sri Kembangan.

“Pihak keluarga ingin meminta penjelasan kepada pihak polis supaya mengesahkan ahli keluarga mereka ditangkap atau tidak. 

“Sekiranya mereka ditangkap mengapa ahli keluarga tidak dimaklumkan tentang penangkapan berikut setelah masuk hari ke-80?

“Dan apakah perkembangan siasatan berdasarkan tujuh bahan bukti atau maklumat yang diserahkan kepada pihak polis,” kata peguam itu dalam sidang media di pejabatnya di Puchong baru-baru ini.

Anggota keluarga lima lelaki berketurun India turut hadir.

Sehubungan itu, Gobind berkata beliau akan mengetuai keluarga dan penduduk Puchong bagi menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar supaya bertanggungjawab atas perkara itu dalam masa terdekat.

Tarikh tepat dan masanya akan dimaklumkan kemudian, katanya.

“Saya juga akan mengajukan perkara ini dalam sidang parlimen dan mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyiasat perkara sebenar,” katanya.