Surat: Perumahan untuk keluarga berpendapatan rendah di bandar

Surat: Perumahan untuk keluarga berpendapatan rendah di bandar

Jelas bahawa “My First Home Scheme” tidak menangani dua masalah utama yang dihadapi oleh pembeli rumah di Malaysia. Yang pertama, harga rumah yang ditawarkan dalam pasaran bebas adalah terlalu tinggi berbanding gaji yang diperolehi. Masalah kedua adalah isu kegawatan ekonomi yang berulang setiap 8 hingga 10 tahun.

Oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Mengikut artikel di muka surat B4, Starbiz bertarikh 17hb Mei 2011, bertajuk “No takers for 4,516 houses under the My First Home Scheme” yang menyatakan bahawa respons rakyat pada tawaran pinjaman 100% kepada pekerja sektor swastavdengan gaji di bawah RM 3000 adalah begitu lemah.

Mengikut kenyataan Ahmad Husni Hanadziah, sampai 30hb April 2011, hanya 772 permohonan telah diterima untuk skim ini.

Pada saya perkara ini bukan sesuatu yang menghairankan. Adalah jelas bahawa “My First Home Scheme” ini tidak menangani dua masalah utama yang dihadapi oleh pembeli rumah di Malaysia. Yang pertama, harga rumah yang ditawarkan dalam pasaran bebas adalah terlalu tinggi berbanding gaji yang diperolehi.

Bayaran pinjaman untuk sebuah rumah yang berharga RM 150,000 adalah lebih kurang RM 750 sebulan. Ini adalah amat berat untuk seorang dengan gaji bulanan sebanyak RM 2500 – ianya merupakan 30% daripada jumlah gajinya.

Masalah kedua yang tidak ditangani oleh Skim “My First Home Scheme” adalah isu kegawatan ekonomi yang berulang setiap 8 hingga 10 tahun.

Oleh kerana jangka masa untuk membayar balik pinjaman bank adalah 30 tahun, peminjam akan mengalami 3 atau 4 kegawatan dalam tempoh masa itu di mana wujudnya kemungkinan beliau akan mengalami penurunan dalam pendapatan bulanan beliau.

Apakah jalan beliau untuk meneruskan bayaran pinjaman semasa kegawatan ekonomi?  Skim yang diumumkan oleh Perdana Menteri langsung tidak menawar sebarang jalan keluar kepada peminjam yang mengalami masalah kewangan oleh kerana kemelesetan ekonomi.

Kerajaan kita telah menunjukkan kebijaksanaan dalam mengendalikan masalah perumahan di kawasan desa. Beberapa skim termasuk “Program Bina Rumah” dan “Program Perumahan Rakyat’ telah dilaksanakan untuk kebajikan penduduk desa.

Pembekalan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah tidak dilepaskan kepada sektor swasta. Kerajaan sendiri mengambil tanggungjawab untuk memastikan rakyat miskin di desa memperolehi rumah selesa.

Mengapa pendekatan ini tidak diamalkan untuk mengatasi masalah perumahan di bandar-bandar kita? Mengapa sebahagian daripada kelebihan (surplus) ekonomi kita tidak disalurkan untuk mensubsidikan pembinaan rumah untuk keluarga berpendapatan rendah di bandar?

Jika kita mahu mencapai matlamat Negara Berpendapatan Tinggi, kita harus bersedia melabur terhadap modal sumber manusia kita dengan memastikan rakyat kita mempunyai kemudahan asas (seperti rumah selesa) supaya mereka dapat melengkapkan anak-anak mereka untuk menyumbang pada ekonomi berpendapatan tinggi yang kita ingini.