Tiga warga asing terlepas tali gantung

Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan dua lelaki rakyat Pakistan dan seorang lelaki dari Uganda setelah didapati tidak bersalah terhadap tuduhan mengedar dadah.

Hakim Ghazali Cha membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dua warga Pakistan, Jahangir Aslam Chonan, 41, dan Makhdoom Qasim, 40, serta Musaazi Ivan Okorocha, 22, dari Uganda.

Beliau bagaimanapun mengarahkan ketiga-tiga lelaki terbabit dihantar pulang  ke negara asal dalam tempoh dua minggu dan dilarang memasuki Malaysia pada masa akan datang kecuali dengan perintah undang-undang.

Ketiga-tiga lelaki tersebut dituduh mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1953 kerana mengedar dadah berjumlah 1,287.09 gram (1,160 gram heroin dan 126.99 gram Monoacetylmorphine) di sekitar kawasan restoran KFC, Jalan Raja Laut pada 10 Mac 2008, pukul 5.30 petang.

Ketika penghakimannya, Ghazali berkata terdapat keraguan dalam penandaan identiti barang kes, warna dan berat dadah yang dirampas serta pertuduhan dengan niat bersama antara ketiga-tiga tertuduh juga tidak dimasukkan dalam pertuduhan.

Katanya terdapat juga pihak ketiga iaitu dua lelaki Afrika — N. Guesan Jean dan Obeik Keneth — yang tidak didakwa bagi pertuduhan yang sama sedangkan Guesan ketika ditahan di tempat kejadian mempunyai wang berjumlah US$27,000
(kira-kira RM82,000).

“Persoalannya kenapa dua lelaki ini tidak dituduh bersama dan diberitahu oleh saksi bahawa kerana tidak mendapat arahan pendakwaan (untuk dituduh) dan satu lagi ditangkap di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Lelaki itu telah dihantar pulang ke negara asalnya dan tidak dapat dipanggil sebagai saksi.

– Bernama