Percuma: Khidmat guaman kes Tribunal Tuntutan Pengguna di Sabah

Percuma: Khidmat guaman kes Tribunal Tuntutan Pengguna di Sabah

Pengguna di Sabah kini boleh menikmati perkhidmatan guaman percuma apabila membawa kes kepenggunaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

TAMPARULI – Pengguna di Sabah kini boleh menikmati perkhidmatan guaman percuma apabila membawa kes kepenggunaan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata kementerian itu telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Peguam Sabah (SLA) dan Bank Kerjasama Rakyat Sdn Bhd (Bank Rakyat) bagi melaksanakan Program Bantuan Guaman Kepada Pengguna Dalam Kes TTPM.

“Di bawah program ini, SLA akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada pengguna secara percuma atau pro bono dan Bank Rakyat akan membayar kembali kepada SLA untuk bayaran yuran mahkamah tidak melebihi RM500 setiap kes. Pembayaran itu akan dikeluarkan daripada satu dana yang ditubuhkan oleh Bank Rakyat yang dinamakan Dana Rakyat 1Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini tiga hari lalu.

Menurut Tan, MoU itu susulan daripada MoU yang ditandatangani antara kementerian berkenaan dengan Majlis Peguam Malaysia dan Bank Rakyat pada 8 Mac lepas. Beliau berkata program itu akan diperluaskan ke Sarawak tidak lama lagi.