Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhbar Aziz telah mengumumkan peningkatan pertumbuhan sebanyak 7.8 peratus bagi tahun 2010 bagi aktiviti perniagaan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC Labuan), minggu lalu.
Peningkatan ini mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak USD 536.4 juta.
Malah pada tahun 2010, sebanyak 8004 syarikat telah berdaftar, 61 darinya adalah syarikat perbankan manakala selebihnya merupakan syarikat pajakan dan insurans.
Walaupun angka yang di keluarkan oleh Bank negara itu amat memberangsangkan untuk ekonomi negara, namun penduduk asal Labuan mula mempersoalkan apakah faedah IBFC Labuan kepada mereka samada secara langsung atau tidak langsung.
Komunitikini telah menemuramah seorang pengusaha muda, Tuan Hj. Shuib Nasir mengenai perkara ini. Menurut beliau, peningkatan hasil perolehan dari IBFC ini memang baik untuk negara, akan tetapi saya berasa hairan kenapa begitu banyak jumlah syarikat yang didaftarkan akan tetapi masih ramai juga pemuda-pemudi di Labuan ini masih tercari-cari pekerjaan.
“Adakah penubuhan syarikat ini tidak memerlukan pekerja?”
“Perkara ini saya bangkitkan kerana masih ramai lagi para belia berjumpa saya dan memohon pekerjaan,” ujar beliau yang juga merupakan bekas Presiden Majlis Belia Labuan.
Persoalan ini juga diutarakan oleh penduduk Labuan kerana Bank Negara sewaktu mengumumkan mengenai peningkatan nilai urusniaga juga menyentuh akan peningkatan peluang pekerjaan dari perkembangan ini.
Melalui tinjauan Komunitikini ke beberapa syarikat kewangan antarabangsa yang ada di Labuan, mendapati kebanyakkan syarikat ini hanya mempunyai pekerja sejumlah dua ke tiga orang sahaja malahan ada yang hanya seorang pekerja sebagai agen di Labuan manakala selebihnya ditempatkan di luar Labuan seperti Kuala Lumpur, Hong Kong, Singapura dan sebagainya.