Kajian di negara maju membuktikan pendidikan seks boleh mengurangkan masalah gejala seksual di kalangan remaja, kata pengerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Napsiah Omar.
Beliau berkata pendekatan yang digunakan Belanda banyak dicontohi negara lain di mana kurikulum yang mereka bina berfokus kepada penerapan nilai,pembentukan sikap yang positif, kemahiran dalam berkomunikasi dan kemahiran berunding, ilmu dalam aspek biologi reproduktif serta penyertaan ibu bapa.
“Punca utama kehamilan remaja adalah kerana penglibatan remaja dalam melakukan aktiviti seks ketika umur terlalu muda dan kurang pengetahuan dalam perlindungan diri dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor yang menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.
“Malangnya di Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif baru hendak bertapak apabila keadaan telah menjadi semakin serius,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup bengkel latihan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk jurulatih Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) Siri 2 di sini, hari ini.
Napsiah berkata banyak kajian mendapati pendidikan seks yang komprehensif boleh mengurangkan bilangan remaja mengandung, tetapi ada juga pihak tidak setuju dengan cara ini dan beranggapan ia akan menggalakkan lagi aktiviti seksual dari kalangan umur yang lebih awal.
Beliau berkata remaja perlu bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang tepat melalui saluran yang betul daripada profesional dan tidak bergantung kepada rakan dan internet yang besar kemungkinan salah dan boleh membahayakan diri dan masa depan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Abdul Hadi Awang Kechil berkata modul PKRS yang akan dilaksanakan pada bulan Mei tahun ini, akan disemak dan diberi penambah baikan dari semasa ke semasa.
“Semua jurulatih mempunyai pengalaman yang banyak kerana mereka begitu rapat dengan pelatih dan tahu apa yang pelatih mahu dan memastikan ia tidak menimbulkan sensitiviti kepada masyarakat,” katanya.
Seramai 1,500 orang jurulatih dari kem seluruh negara akan melaksanakan modul ini kepada lebih 70,000 pelatih PLKN.
Modul Kesejahteraan Hidup yang dibangunkan oleh LPPKN mengandungi tujuh komponen iaitu jantina dan gender, kekeluargaan, seksualiti, tangungjawabseksual, menghindari situasi berisiko tinggi, kemahiran teknik penolakan dan hidup tanpa keganasan.
— Bernama