Kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain dalam membanteras gejala sosial akan dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa terutama di pusat hiburan sekitar bandar Klang menjadi tumpuan orang ramai.
Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Shahrul Hazri Abd Majid berkata, operasi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah antara gerak kerja bersama pihaknya terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti di sini.
Menurutnya,pada operasi itu,dua ditahan oleh AADK kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah sekitar Pendamar Indah selain beberapa premis hiburan turut diperiksa berkaitan lesen dan kebenaran lain.
“Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan terutama berkaitan lesen dan peraturan yang telah ditetapkan majlis.
“Malah kerjasama AADK dalam mengadakan operasi cukup membanggakan terutama komitmen pegawai dan anggota yang bertugas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai operasi bersama MPK dan AADK sekitar Pendamar Indah dan Jalan Pasar di sini, malam tadi.
Shahrul berkata, selain daripada operasi pusat hiburan,majlis juga kini memperhebatkan operasi lain antaranya pusat siber,gerai haram dan peniaga warga asing di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti.
Menurutnya, selain penguatkuasaan,majlis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan pemilik dan individu yang melakukan kesalahan terutama berkaitan premis perniagaan dan pusat-pusat hiburan sekitar kawasan ini.