Rumah hampir roboh akibat hakisan di Kulim

Rumah hampir roboh akibat hakisan di Kulim

20 pemilik rumah yang terletak berhampiran tebing Sungai Terap, di Kampung Terap Batu 11 Mukim Terap dekat sini hidup dalam kebimbangan rumah mereka akan roboh dilanda hakisan akibat air sungai yang sering melimpah khususnya di musim hujan.

Gambar hiasan

20 pemilik rumah yang terletak berhampiran tebing Sungai Terap, di Kampung Terap Batu 11 Mukim Terap dekat sini hidup dalam kebimbangan rumah mereka akan roboh dilanda hakisan akibat air sungai yang sering melimpah khususnya di musim hujan.

Hakisan yang teruk berlaku sejak beberapa tahun lepas mengakibatkan kawasan tanah tapak rumah mereka semakin mengecil menyebabkan kediaman mereka terdedah kepada kemungkinan roboh dibawa arus sungai.

Dalam kejadian terbaru yang berlaku selepas hujan lebat semalam, tanah bahagian dapur rumahnya Shamsiah Jaafar, 43, terhakis dan bahagian itu kini kelihatan seperti tergantung di permukaan tebing sungai.

“Kami sekeluarga 12 orang terpaksa juga tinggal di rumah ini kerana tiada tempat lagi untuk berteduh walaupun bila-bila masa pun rumah boleh runtuh,” kata Shamsiah ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat sini pada Rabu.

Katanya ketika rumahnya dibina dahulu, jarak antara tebing Sungai Terap itu dan tapak rumahnya, adalah 10 meter tetapi sekarang setelah dilanda hakisan hanya tinggal lima meter.

“Setiap kali hujan turun hati kami sekeluarga bimbang tebing sungai runtuh lagi kerana pada kejadian hujan lebat petang semalam, air telah masuk keseluruhan dalam rumah hampir satu meter dalam menyebabkan perabot dan perkakas rumah rosak,” kata Shamsiah yang menetap di situ sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya air sungai yang deras ketika hujan menyebabkan tebing sungai yang terletak berhampiran dengan rumahnya terhakis dan rumahnya turut mengalami banjir kilat disebabkan paras air sungai yang melimpah.

Shamsiah berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin untuk mengelakkan berlakunya kesan hakisan lebih teruk.

Katanya sekiranya hujan lebat terutama waktu malam, beliau bersama anak-anak tidak lelap tidur kerana takut berlaku perkara tidak diingini.

Anggota Majlis Tindakan Kawasan Dewan Undangan Negeri Kulim, Sulaiman Ibrahim, yang mengunjungi Shamsiah hari ini, berkata beliau akan membawa perkara itu untuk tindakan pihak atasan.

– BERNAMA