Beberapa tahun yang lalu, Josia Sipanis yang berusia tiga belas tahun berasa amat gembira kerana dapat menjejakkan kaki di sekolah menengah.
Josia yang berasal dari Kampung Buayan, Penampang berkata bahawa dia amat bersyukur kerana berpeluang untuk menikmati pendidikan di sekolah menengah sama seperti mereka yang tinggal di Bandar
Walau bagaimanapun, harapan Josia tidak kesampaian apabila terpaksa menamatkan zaman persekolahan setelah dua bulan berada di sekolah kerana masalah kewangan.
Josia yang merupakan anak keempat daripada 10 orang adik beradik berkata, beliau dengan berat hati meninggalkan impiannya menuju ke menara gading dan kembali ke kampung halamannya.
Namun, setelah beberapa tahun berada di kampung yang terletak jauh di pedalaman, Josia akhirnya nekad untuk kembali semula mengejar impiannya
” Semasa berumur 17 tahun, saya berminat untuk kembali belajar. Oleh itu saya mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di salah sebuah sekolah swasta di Kota Kinabalu,”ujar Josia.
Keputusan PMR yang baik tersebut telah mendorong Josia untuk mengambil peperiksaan SPM. Namun sekali lagi masalah kewangan telah menyekat beliau daripada terus mara ke hadapan.
” Saya mengambil keputusan untuk bekerja sementara (dalam tempoh setahun) di Kuala Lumpur. Setahun selepas itu saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan yang agak baik membolehkan saya menyambung pelajaran ke tingkatan enam di sekolah yang sama,” kata Josia yang menerima pendidikan awal di S.K Buayan Penampang daripada darjah satu hingga darjah enam.
Walaupun keadaan kewangannya agak bermasalah, tetapi atas berkat pertolongan saudara mara yang pemurah, beliau berjaya menamatkan pelajaran di tingkatan enam dan meraih keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang agak baik.
Pada tahun 2005 dengan berbekalkan kelulusan STPM yang baik, beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan untuk mengumpul wang dan menyambung pelajarannya.
Setelah Josia mendapat pekerjaan sebagai eksekutif pentadbiran di salah sebuah syarikat swasta dan dia mendaftarkan dirinya disalah satu institusi pengajian swasta.
” Sekarang saya sedang belajar dalam bidang Pengurusan Perniagaan (Ijazah) di UNITAR. Saya membiayai pelajaran dengan menggunakan pinjaman PTPTN (Separuh sahaja) dan yang selebihnya dari gaji bulanan saya, ” ujar beliau yang pernah bercita-cita menjadi seorang peguam dan kini berusia 28 tahun.
Semasa Josia berhijrah ke Kuala Lumpur enam tahun yang lepas, hatinya berbelah bagi kerana terpaksa berpisah dengan keluarganya. Tetapi pada masa yang sama turut berasa gembira kerana berpeluang untuk menyambung pelajarannya.
Josia yang masih belum mendirikan rumahtangga, bertekad untuk memperbaiki diri dan seterusnya membuat sumbangan yang berguna terhadap keluarga dan juga penduduk kampung.
Josia juga menyatakan rancangannya untuk kembali ke Sabah pada masa akan datang setelah menghabiskan pelajarannya.
“Saya ingin melihat lebih ramai penduduk menerima pendidikan, pemimpin yang berwibawa serta telus, dan kemudahan asas di pertingkatkan untuk kemudahan seluruh rakyat Sabah terutamanya jalan raya untuk kawasan pedalaman seperti di Kampung Buayan,” katanya yang juga mengakui amat rindukan kampungnya apabila ditanya mengenai perubahan yang ingin dilihat apabila kembali ke Sabah nanti.
Kisah mengenai Josia hanyalah satu daripada ratusan kanak-kanak kampung yang tinggal jauh di pedalaman Sabah terpaksa berhenti sekolah pada usia yang muda akibat masalah kewangan.
Josia telah berjaya menempuh segala percubaan dan telah membuktikan bahawa tekad dan azam boleh membawa kejayaan walaupun hidup dalam kemiskinan.
Kampung Buayan yang merupakan kampungan halaman Josia terletak jauh di pedalaman daerah Penampang dan mengambil masa sekurang-kurangnya lapan jam perjalanan berjalan kaki melalui lurah, bukit dan sungai.
Kampung ini yang tidak mempunyai kemudahan asas yang baik telah dihuni sebelum pembentukkan Malaysia pada tahun 1963.