100,000 surat permohonan berkaitan tanah dijangka selesai tahun ini

100,000 surat permohonan berkaitan tanah dijangka selesai tahun ini

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata seramai 164 penduduk Kampung Melayu Sri Kundang menerima Notis 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah dengan kadar premium RM2 bagi sekaki persegi.

Khalid menyampaikan surat Notis 5A kepada salah seorang penerima

Seramai 164 penduduk Kampung Melayu Sri Kundang menerima Notis 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah dengan kadar premium RM2 bagi sekaki persegi di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Gombak pada Ahad lalu.

Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau menasihati penduduk sama ada yang telah menerima Notis 5A, belum menerima atau dalam proses memohon supaya memberi kerjasama kepada Pentadbir Tanah Daerah Gombak dan juga JKKK.

“Ia bertujuan untuk menyegerakan keperluan untuk membolehkan semua proses yang ada dipatuhi bagi memudahkan urusan,” katanya menyempurnakan pemberian notis kepada penduduk kampung.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menyelesaikan sehingga 100,000 permohonan berkaitan tanah dalam tempoh terdekat ini.

“Sehubungan itu, kakitangan Pejabat Tanah Daerah telah diminta membantu penduduk mengisi borang bagi mengelak penduduk terpaksa berulang-alik ke pejabat tanah dan secara tidak langsung dapat mengelak pembaziran masa, tenaga dan wang,” katanya.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Khalid berkata, permohonan milikan tanah untuk pembinaan kediaman di Kampung Melayu Sri Kundang ini telah dibuat sejak tahun 1999 dengan lebih 700 pemohon.

Menurutnya, dari jumlah itu, 571 orang telah menerima hak milik ini dan bakinya tertangguh disebabkan beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) pada 20 Oktober 2010 telah menerima 216 nama iaitu baki daripada permohonan terdahulu.

“Sebahagian pemohon telah ditawarkan surat kelulusan tetapi gagal untuk menjelaskan bayaran premium sehingga tamat tempoh notis 5A. Manakala sebahagian lagi adalah permohonan baru yang tercicir.Daripada semua nama ini, 201 nama telah diluluskan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khalid memperjelaskan sebab-sebab permohonan yang ditolak ialah kerana tapak yang diberi dibiarkan kosong serta tidak diusahakan, permohonan bertindih dan dua lagi tapak telah mempunyai hak milik.

See also  Malaysia ranks 4th globally in skyscraper count

Menurutnya, daripada 201 nama yang mendapat kelulusan, hanya 164 orang yang akan menerima Notis 5A pada hari ini disebabkan 37 pemohon tidak memenuhi beberapa syarat lain untuk melayakkan penerimaan Notis 5A ini seperti tidak menyelesaikan kerja ukur dan sebagainya.

“Kadar premium yang telah dipersetujui oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk para penerima Notis 5A pada hari ini ialah sebanyak RM2,” katanya.