Penantian selama 30 tahun oleh masyarakat Sino Bumiputera di Sabah akhirnya sampai ke penghujung apabila pendaftaran Persatuan Peranakan Sino Bumiputera Sabah (PPSBS) telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
Berikutan dengan kelulusan tersebut PPSBS telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan pada 19 Februari lepas.
Masyarakat Sino Bumiputera Sabah menghadapi pelbagai masalah membabitkan tuntutan dan permohonan tanah, pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan permohonan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi semenjak pengeluaran Sijil Anak Negeri (SAN) mula dibekukan pada tahun 1982.
Melalui pengiktirafan PPSBS, komuniti tersebut berharap akan mendapat pembelaan sama seperti komuniti-komuniti lain di Malaysia.
Presiden PPSBS, Johnny Goh dalam ucapannya menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab persatuan tersebut untuk memberikan kerjasama yang baik kepada kerajaan atau agensi-agensi kerajaaan yang berkaitan, dalam hal-hal yang melibatkan masyarakat Sino Bumiputera.
Johnny berkata: “Tentu sekali dengan kewujudan persatuan ini, kepentingan serta kebajikan masyarakat Sino Bumiputera di negeri ini dapat disuarakan melalui saluran yang sah dan seterusnya dijaga dan dipelihara.”
Salah satu daripadanya adalah dengan memastikan pengeluaran SAN yang akan datang hanya diberikan kepada pemohon-pemohon yang benar-benar berkelayakan serta berketurunan Sino Bumiputera tulen dan mendapat pengesahan daripada pihak-pihak berkenaan seperti ketua kampung, ketua anak negeri dan ketua daerah.
Pihak hospital samada kerajaan atau swasta, juga digesa agar memastikan setiap bayi berketurunan Sino Bumiputera yang dilahirkan di hospital berkenaan, harus dicatitkan perkataan ‘Sino Bumiputera’ di dalam surat beranak bayi berkenaan katanya sambil menegaskan kepentingan keturunan bayi berkenaan dicatatkan.
Ketika ini, masyarakat Sino Bumiputera yang datang membuat pengesahan Sijil Anak Negeri di Pejabat Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, terpaksa menunggu selama beberapa bulan untuk mendapatkan pengesahan sijil mereka.
Walaupun mereka akur dengan prosedur yang diamalkan oleh pihak Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah atau kerajaan, tetapi hakikatnya ia turut membebankan para pemegang Sijil Anak Negeri berkenaan.
Oleh itu, persefahaman diantara pihak hospital dan Jabatan Pendaftaran Negara juga amat perlu disamping kerjasama yang akan diberikan oleh persatuan tersebut, tambah beliau sambil menekankan permohonan SAN mestilah berpaksikan latarbelakang keturunan pemohon seperti yang tercatit dalam surat beranak yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mengenai usaha kerajaan untuk memberikan peruntukkan sebanyak RM60 juta bagi menaiktarafkan institusi Mahkamah Anak Negeri di negeri ini, beliau turut mengalu-alukan usaha tersebut dan melahirkan harapan agar Mahkamah Anak Negeri di Sabah akan terus relevan dan setaraf dengan mahkamah-mahkamah lain.