Penyampaian surat hakmilik kepada pemilik-pemilik Taman Mawar di Ampang

Penyampaian surat hakmilik kepada pemilik-pemilik Taman Mawar di Ampang

Masalah pemilik lot di Taman Mawar diselesaikan.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan akan mengadakan satu majlis penyerahan surat-surat hakmilik kepada pemilik-pemilik rumah Taman Mawar, Ampang pada 12 Disember 2010, jam 10.30 pagi bertempat di Galeri MPAJ, Menara MPAJ, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur.

Taman Mawar adalah kawasan perumahan yang dibina dalam tahun 1984 dan telah siap dua tahun kemudian. Ia terdiri dari 304 unit rumah kediaman dan 25 unit kedai. Pemilik telah mula berpindah masuk dalam tahun 1986.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mendapat surat hakmilik kerana pemajunya Musytari Development Sdn Bhd, telah gagal menjelaskan premium tanah sebanyak RM318,000.00 dan pemaju telah diisytiharkan muflis pada 18 Januari 1996.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah meluluskan beberapa perkara melalui MMKN 23/2008 pada 13 Ogos 2008, iaitu:

1. Meluluskan pecah sempadan kepada lot-lot individu iaitu kepada pemilik-pemilik.
2. Meluluskan bayaran tunggakan cukai tanah kepada bayaran nominal RM1.00 dan pengecualian bayaran denda lewat
3. Dan meluluskan bayaran premium mengikut kadar nominal RM 100.00 satu lot.

Daripada 329 pemilik, seramai 204 pemilik telah menjelaskan bayaran premium sehingga November 2009 dan selebihnya masih belum membuat pembayaran. Daripada 204 pemilik sebanyak 193 telah dikeluarkan hakmilik dan baki 11 masih di dalam proses untuk dikeluarkan.