CAP: Ini alasan mengapa Generasi Penamat Merokok perlu disokong

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas dan ahli parlimen perlu menyokong Generasi Penamat Merokok untuk memastikan kelangsungan generasi muda tidak terjejas.

Photo: JJ Shev @Unsplash

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa ahli Jawatankuasa Pilihan Khas dan ahli parlimen (MP) untuk menyokong Generasi Penamat Merokok.

Mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan yang lebih besar penduduk dengan menyokong Generasi Penamat Merokok (Generational End Game [GEG]) dan bukannya mereka yang mempunyai kepentingan dalam perniagaan.

Menurut perangkaan yang boleh diperolehi, bilangan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem penyampaian nikotina elektronik (ENDS) termasuk e-rokok dan vape meningkat dua kali ganda kepada 1.2 juta pada 2019 daripada 600,000 pada 2016.

Kemunculan ENDS datangnya daripada pencarian industri tembakau untuk produk ‘kurang bahaya’ kerana tekanan yang semakin meningkat terhadap merokok yang timbul daripada kesedaran kesihatan awam.

ENDS hanya diperolehi secara komersial di Malaysia pada tahun 2015.
E-cecair yang digunakan oleh ENDS selalunya mengandungi nikotina, bahan kimia yang sangat toksik dan menagihkan, sebagai bahan. Nikotina yang digunakan dalam ENDS boleh berupa dalam bentuk nikotina asas bebas, garam nikotina, atau campuran daripadanya.

Photo: Andres Siimon @Unsplash

Nikotina tulen tidak diserap dengan baik oleh tubuh. Untuk membolehkan nikotina sampai ke otak dengan lebih cepat, memberikan ‘hit’ yang hampir serta-merta, struktur kimia nikotina perlu diubah dengan menambahkan ammonia atau sebatiannya kepada nikotina tulen. Proses ini menghasilkan nikotina asas bebas yang sangat menagihkan yang biasanya digunakan dalam e-cecair.

See also  Understanding migraines: Beyond a simple headache

Pihak industri tahu mengenai proses itu. Malah, saintis kanan R. J. Reynolds menyatakan dalam dokumen dalaman pada 1973 bahawa “kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan pH asap dan/atau ‘kick’ nikotina termasuk … penggunaan bahan penambah alkali, yang biasanya sebatian ammonia, kepada adunan”.

Satu lagi perkara ialah, pihak industri mengeksploitasi fakta bahawa ujian kerajaan mengukur jumlah kandungan nikotina tetapi bukan perkadaran pelbagai bentuk bahan kimia yang berbeza. Hasilnya,pihak industri boleh menggunakan bentuk nikotina yang sangat menagihkan dalam merumuskan e-cecair mereka.

Walaupun kerajaan boleh mengawal kandungan nikotina e-cecair, pengambilan nikotina sangat bergantung kepada beberapa faktor: kedalaman dan kekerapan sedutan, bentuk nikotina yang digunakan, dan jumlah nikotina yang terdapat dalam e-cecair.

Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan bahawa telah menerima hampir 30 kes keracunan berkaitan vape antara 2015 dan 2020. Terdapat enam kes yang dilaporkan pada 2019 dan jumlah kes meningkat dua kali ganda pada 2020 kepada 13 kes.

Generasi Penamat Merokok
Photo: Julia Engel @Unsplash

Kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun, yang paling muda berumur 4 bulan. Pengambilan e-cecair boleh membunuh dan perisanya juga terlalu memikat untuk kanak-kanak.

See also  World Asthma Day spotlights advances in childhood asthma care

Data daripada 55 pusat kawalan racun di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 1,892 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah terdedah kepada e-cecair pada 2018, dalam kebanyakan kes melibatkan pengambilan cecair. Jumlah itu dijangka jauh lebih tinggi daripada yang telah dikumpulkan oleh pusat kawalan racun.

Satu kajian di AS juga menunjukkan bahawa industri itu bukan hanya memasarkan produknya yang membunuh dan ketagihan kepada kanak-kanak, tetapi juga berusaha untuk mereka bentuk semula rokok untuk menjadikannya lebih menarik kepada bakal pelanggan baharu, terutamanya kanak-kanak.

Pendekatan ini juga telah diguna pakai dalam menghasilkan e-cecair dengan perisa buah-buahan dan perisa lain serta pembungkusan yang menarik.

Matlamat yang jelas bagi pihak industri ini adalah untuk melahirkan generasi penagih nikotina untuk mengekalkannya dalam perniagaan.

Bagaimanapun, kami ingin mengulangi pendirian kami yang menyokong GEG kerana ia menjadi kewajipan bagi setiap rakyat Malaysia untuk bertindak melindungi kesihatan dan kehidupan generasi masa depan kita.

Sehubungan itu, kami menggesa ahli parlimen untuk memastikan akal yang sihat masih menguasai dan menyokong GEG.

Avatar photo

CJMY

For any inquiries or to submit a press release, please send an email CJ Editor at [email protected].