Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melancarkan satu kolaborasi kajian menjurus kepada pelaksanaan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera.
Pelancaran ini merangkumi sesi penandatanganan persefahaman beberapa projek kajian dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Dato’ Nolee Ashilin binti Mohammed Radzi, telah hadir untuk melancarkan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera.
Beliau turut menyaksikan sesi penandatangan persefahaman bagi Kajian Lanjutan Program Rintis Gugusan Manjoi serta penyerahan Draf Laporan Kajian Sejarah dan Morfologi Bandar serta Penempatan Awam Masyarakat Melayu di Bandaraya Ipoh petang semalam.
Datuk Bandar Ipoh Dato’ Rumaizi bin Baharin@Md Daud, bersama Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran & Kewangan) USAS Dr. Anas bin Md Yusof, telah menandatangani MOU.
Ketua Pegawai Eksekutif, Universiti UniKL RCMP Hisshamuddin Omar pula telah mewakili penyelidik Kajian Sejarah dan Morfologi Bandar serta Penempatan Awam Masyarakat Melayu .
Kolaborasi bagi Kajian Pelaksanaan Ipoh Sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera telah dilakukan bersama USAS sebagai salah satu sasaran di dalam Pelan Strategik Bandaraya Ipoh.
Ia juga selari dengan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon 2030.
Konsep Maqasid al-Syariah menjadi teras dalam melestarikan kesejahteraan kehidupan semua warganegara dan menyantuni kemanusiaan melalui kepemimpinan berkesan dan berintegriti, kehidupan yang berkualiti, aman dan makmur.
Pengaplikasian konsep ini dalam Bandar Bestari Sejahtera menjadi tiang seri bagi membangunkan pelan strategik yang berkaitan dengan transformasi pendigitalan, pembangunan potensi, pembudayaan syiar, pemerkasaan ekonomi dan kewangan supaya selari dengan kehendak masyarakat yang hidup dalam keadaan bestari, sejahtera, aman dan tenteram.
Model Bandar Bestari Sejahtera yang dibangunkan adalah melalui kajian ilmiah terhadap model dan konsep bandar pintar terkini dan falsafah perbandaran konsep madani yang dikemukakan oleh cendekiawan-cendekiawan handal serta ilmuwan silam dan kontemporari, dengan kolaborasi bersama beberapa pakar yang berpengalaman dari pelbagai bidang.
Pelan Strategik telah dirangka bagi merealisasikan Ipoh ke arah Bandaraya Bestari Sejahtera merangkumi 4 teras Pengurusan Transformasi Digital, Pembangunan Potensi, Ekonomi dan Kewangan dan Syiar.