Usahawan atau persatuan petani diajak menyertai Jelajah Ehsan Rakyat bagi membantu penduduk mendapat barang keperluan pada harga murah.
EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata inisiatif tersebut membolehkan golongan terlibat menjana pendapatan secara terus tanpa melibatkan orang tengah untuk memasarkan produk mereka.
“Hari ini Persatuan Cili Usahawan Tani Batu Tiga ambil peluang menjual hasil tanaman di program jualan murah barang asas. Lepas ini mungkin lebih ramai lagi menyertai program ini, kita boleh berganding membantu rakyat.
“Mereka juga tidak harus bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri untuk menjual produk, ambil peluang yang ada untuk sama-sama bangunkan ekonomi,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuantan, di sini, hari ini.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.
Jelajah Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang telah memanfaatkan lebih 80,000 individu sejak diperkenal Disember tahun lalu.
Program jelajah bermula pada 6 September itu juga mencatatkan jumlah subsidi melebihi separuh daripada jumlah kutipan jualan iaitu sebanyak RM1.04 juta di 54 lokasi jualan seluruh negeri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, jumlah jualan dan agihan subsidi dijangka bertambah berdasarkan sambutan hangat diterima pada minggu pertama ini.
“Untuk itu PKPS telah menggerakkan seluruh warga kerja dan aset untuk memastikan program ini berjalan seperti yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tempoh hari.
“Seramai kira-kira 100 kakitangan dan pegawai PKPS serta sukarelawan menyertai siri Jelajah Ehsan Rakyat yang bergerak ke seluruh Selangor pada setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 9 pagi hingga 1 petang,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Mohamad Khairil berkata, setiap sebuah dari sembilan trak jualan akan membawa enam produk makanan asas iaitu ayam, daging, ikan, beras, minyak masak dan telur ayam.
Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.
Sumber: Selangorkini