Runtuhan Jaya Supermarket: Dua syarikat pembinaan, seorang pengarah akan didakwa

Runtuhan Jaya Supermarket: Dua syarikat pembinaan, seorang pengarah akan didakwa

Dua syarikat pembinaan dan seorang pengarah salah sebuah syarikat pembinaan terbabit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, berhubung kes runtuhan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya pada 28 Mei tahun lepas, yang mengorbankan tujuh nyawa.

Memetik laporan Bernama, dua buah syarikat berkenaan akan didakwa esok (hari ini), manakala pengarah syarikat terbabit pula akan didakwa pada 27 Sept, masing-masing di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menurut kenyataan media Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor hari Isnin.

Kesemua mereka masing-masing akan didakwa di bawah seksyen 15(1) iaitu sebagai majikan, telah gagal untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja; dan seksyen 17(1) iaitu sebagai majikan, telah gagal untuk menjalankan pengusahaannya dengan cara memastikan, setakat yang praktik, bahawa orang-orang lain, yang bukan pekerjanya, yang mungkin tersentuh oleh pengusahaannya itu tidak terdedah kepada risiko kepada keselamatan dan kesihatan.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Menurut kenyataan berkenaan, kesemua mereka boleh dihukum di bawah seksyen 19 Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Dalam kejadian 28 Mei tahun lepas, lebih kurang pukul 5 petang, keruntuhan struktur bangunan telah berlaku di bekas tapak Jaya Supermarket yang mengandungi bangunan pejabat sembilan tingkat dan kompleks membeli-belah empat tingkat di Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya.

Kemalangan itu telah mengakibatkan bahagian empat tingkat bangunan Jaya Supermarket dengan parkir di tingkat bawah tanah runtuh sepenuhnya dan mengorbankan tujuh nyawa.

Kemalangan berlaku ketika kerja perobohan bahagian bangunan tersebut sedang dijalankan.

See also  Malaysia ranks 4th globally in skyscraper count

Sementara itu, Komunitikini pernah melaporkan pihak berkuasa perlu mengkaji semula prosedur penstrukturan semula projek bekas bangunan Jaya Supermarket, seksyen 14 kerana bimbang keselamatan penduduk terancam.

Setelah 9 bulan kejadian runtuhan berlalu, insiden yang mengorbankan buruh warga Indonesia sudah pastinya meninggalkan kesan trauma kepada penduduk berhampiran.

Salah seorang penduduk perumahan terletak kira-kira 100 meter daripada tempat kejadian, Azlan Ahmad, 50, pesara ketika ditemui melahirkan perasaan bimbang terhadap pencemaran udara dan faktor keselamatan keluarga.