Walaupun mendapat tentangan daripada persatuan penduduk Petaling Jaya cadangan projek pembangunan di Seksyen 52 tetap diteruskan.
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) meluluskan permohonan kebenaran merancang projek pembangunan lapan blok bangunan setinggi 27 tingkat itu.
Gabungan Persatuan Penduduk Petaling Jaya (Apac), ternyata terkejut dan kecewa dengan hasil keputusan tersebut.
Presidennya, Johan Tung Abdullah berkata maklumat disampaikan oleh Perunding Asnatech mewakili Puncak Wangi Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Menurutnya, jelas sekali permintaan kami diabaikan – merujuk surat dikirim 23 Julai lalu meminta mesyuarat OSC mengamalkan dasar prinsip telus, adil dan bertanggunjawab.
Dipetik menerusi laman blog, tegasnya, projek pembangunan ini bukannya permintaan dan kehendak komuniti PJ.
“Sewajarnya MBPJ mendengar suara pembayar cukai serta melindungi kehendak penduduk dengan menolak, meminda cadangan dalam mesyuarat penuh.
“Apac berharap maklum balas positif diterima mengenai isu ini serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu bagi melindungi serta menjaga kepentingan penduduk yang membayar cukai di PJ,”katanya .
Rentetan di sebalik mesyuarat penuh MBPJ
Sepanjang mengikuti Mesyuarat Penuh MBPJ, Selasa lalu, Komunitikini mendapati apabila ahli majlis membangkitkan isu pembinaan Seksyen 52, suasana bertukar menjadi tegang.
Ahli Majlis Zon 8, Mak Khui Weng mempersoalkan keputusan mesyuarat OSC meluluskan projek pembangunan.
Menurutnya, selain penduduk, pihak hotel dan premis perniagaan berhampiran tapak projek pembinaan mengemukakan bantahan.
“Mengapa kertas bantahan tidak disertakan sekali dengan kertas cadangan dalam minit mesyuarat?” ujarnya.
Namun begitu, Ahli Majlis Zon 12, Derek Fernandez memberi penjelasan bahawa perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat OSC yang lalu.
Menurutnya, ia sudahpun diputuskan bersama ahli parlimen dan ahli majlis yang hadir kecuali you (Mak) tidak hadir dalam mesyuarat itu.
Manakala, Ahli Parlimen Bukit Gasing, Edward Lee berkata, sebarang cadangan dan bantahan projek pembangunan Sekyen 52 perlu dilampirkan dalam minit mesyuarat.
“Dengan adanya lampiran itu, memudahkan kita untuk menyemak semula setiap proses dari peringkat awal cadangan sehinggalah akhir,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib ketika ditemui pada sidang media bagi menerangkan status terkini isu projek pembangunan menyatakan projek pembangunan Seksyen 52 akan diteruskan.
“Projek pembangunan diluluskan dalam mesyuarat OSC dan mematuhi peraturan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1.
“Ia dipersetujui sebelum ini, dari tempoh bantahan 21 hari sehinggalah `public hearing’,” katanya.
Fakta Pusat Setempat (OSC)
Pusat Setempat (OSC) ditubuhkan 9 Mac lalu, dalam usaha mewujudkan bandar raya yang mesra penduduk sekali gus mengurangkan masalah terhadap sesuatu projek yang akan dilaksanakan.
Kali ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan peluang kepada orang ramai menyuarakan pandangan atau bantahan mereka terhadap sesuatu projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan penempatan mereka.
Orang ramai berpeluang mengemukakan bantahan mereka dalam majlis yang akan dianjurkan oleh MBPJ apabila ada projek pembangunan baru dirancang.
Selepas sesi bantahan itu, semua input dari sesi itu akan dibawa ke dalam mesyuarat OSC untuk dibincangkan sebelum kata putus diberikan.
Mesyuarat OSC akan menentukan sama ada pemaju boleh meneruskan sesuatu projek pembangunan atau tidak.
Antara perkara yang akan dipertimbangkan ialah seperti kesan pembangunan ke atas kualiti hidup masyarakat
Dengan adanya sesi seperti itu, sudah tentunya pemaju akan mengkaji kemudahan-kemudahan yang bakal diberi kepada masyarakat serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dijangka wujud sebelum merancang sesuatu projek.
MBPJ sangat menggalakkan pembangunan dilaksanakan tetapi pada masa yang sama, pemaju perlu mengenal pasti masalah-masalah seperti kesesakan lalu lintas dan masalah prasarana yang bakal dihadapi oleh penduduk sedia ada.