Polisi tangani salah laku kakitangan MBPJ dilancarkan

Polisi tangani salah laku kakitangan MBPJ dilancarkan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Polisi Aduan Salah Laku bagi membanteras salah laku melibatkan pegawai dan kakitangan agensi itu.

DSC_3115

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  hari ini melancarkan Polisi Aduan Salah Laku khusus bagi menangani  salah laku melibatkan pegawai dan kakitangan agensi itu.

Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib berkata pihaknya kerap menerima rungutan dan aduan daripada penduduk  berkaitan dengan perkhidmatan kurang memuaskan serta salah laku ditunjukkan pegawai dan kakitangan agensi itu.

Menurutnya, kebanyakan aduan diterima sebelum ini dianggap tidak berasas disebabkan pengadu tidak memberikan maklumat serta bukti kukuh bagi membolehkan siasatan dilakukan.

“Bagi mengatasi masalah ini, penduduk boleh mengemukakan aduan melalui laman portal MBPJ di www.mbpj.gov.my dan email kepada [email protected].

“Selain itu, penduduk boleh mengemukakan aduan secara bertulis kepada Ketua Unit Aduan Salah Laku MBPJ dan menghantar sendiri ke peti aduan salah laku di kaunter pertanyaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Polisi Aduan Salah Laku di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

Hadir sama, penyelaras program, Michael Soo, ahli majlis MBPJ serta beberapa wakil persatuan penduduk sekitar Petaling Jaya.

Sebagai permulaan, ahli majlis, pegawai dan kakitangan dilantik boleh membuat aduan serta pendedahan mengenai salah laku melibatkan seluruh warga kerja itu.

“Di samping itu, MBPJ turut menubuhkan Unit Aduan Salah Laku untuk mengendalikan kes-kes penyelewengan, salah laku, amalan bertentangan dan tidak sah dari segi peraturan dan undang-undang yang berlaku dalam agensi itu.

“Pihak jawatankuasa akan membuat laporan dan mengesyorkan tindakan tata tertib terhadap kakitangan MBPJ didapati membuat laporan palsu  dan sengaja memfitnah pihak lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai keselamatan pengadu, jelasnya, pihaknya memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan daripada mana-mana pihak.

“Malah, MBPJ akan memastikan tiada tindakan tata tertib dikenakan terhadap pengadu yang melaporkan aduan secara jujur dengan membuktikan kesahihan maklumat tersebut,” ujarnya.