Masalah pemandu teksi di Lembah Klang seringkali kita dengari di warung kopi atau terbaca kisah mereka terpampang di dada akhbar mengenai mutu perkhidmatan kurang memuaskan.
Seringkali kita mendengar pelbagai rungutan daripada pengguna tetapi tidak adil sekiranya pemandu teksi ini dipersalahkan semata-mata, sudah tentu ada cerita yang tersirat disebalik yang tersurat.
Ini telah mendorong Komunitikini untuk menemuramah beberapa orang pemandu teksi untuk mengetahui sendiri apa yang berlaku sebenarnya.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah, Khamalin Yahya ketika ditemui berkata sewajarnya kerajaan memberikan syarat kelonggaran maksima 5 tahun memperbaharui permit kepada pemilik teksi persendirian.
Menurutnya kesukaran mendapatkan permit teksi adalah isu utama yang membelenggu pemandu teksi persendirian.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) supaya majoriti permit teksi seharusnya diberikan kepada pemandu yang mempunyai rekod yang baik dan berpengalaman.
“Sudah tentu LPKP mempunyai pangkalan data pemandu yang memohon lesen, saya berharap cadang dan syarat tersebut dilonggarkan.
“Ini dapat mengelak syarikat-syarikat besar terus memonopoli permit teksi dan keuntungan akan diperolehi oleh pemandu teksi itu sendiri sekali gus mengelakkan pemandu teksi daripada meminjam along,” katanya.
Sementara itu,Katan Sudin, 57, turut berkongsi cerita masalah yang dihadapi pemandu teksi persendirian, baru-baru ini beliau diarahkan supaya membeli kad aduan berharga RM8 setiap satu untuk diletakkan di dalam teksi.
Menurutnya, ia sekali gus membebankan pemandu teksi persendirian kerana perlu membeli dua kad aduan berharga RM16 sedangkan di dalam teksi sudahpun tertera mengenai piagam dan etika pemandu teksi.
“Apa yang menghairankan tiada arahan dikeluarkan oleh pihak LPKP, malah tiada cop rasmi tertera pada kad aduan tersebut.Sekiranya kami tidak membeli kad aduan, Puspakom tidak akan `melayan` kami dan merasakan seolah-olah diri ini dianiaya,”katanya.
Komunitikini memperolehi pelbagai maklumat dan cadangan sepanjang perjumpaan itu.
Tetapi apa yang dapat dipaparkan adalah serba sedikit keluhan pemandu teksi persendirian yang perlu diambil kira oleh pihak berwajib.
Selain kemudahan pengangkutan awam seperti bas, komuter dan transit aliran ringan (LRT), teksi merupakan salah satu pengangkutan awam yang membawa imej negara.
Jika orang awam dan pelancong asing memberikan gambaran negatif terhadap pemandu teksi, maka imej negara juga akan turut tercalar.