Cemas rumah kongsi terbakar

Cemas rumah kongsi terbakar

Penghuni rumah kongsi berhampiran bangunan UOA, dekat sini cemas apabila dikejutkan dengan satu kebakaran tengah hari semalam dipercayai berpunca daripada api dapur yang tidak ditutup.

Komander Operasi Kanan Ibu Pejabat Bomba Kuala Lumpur, Letchumanan Mariappan berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kebakaran kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, setelah dimaklumkan penghuni.

Menurutnya, seramai 22 anggota terlibat mengawal kebakaran terdiri daripada anggota Pejabat Bomba Pantai dan Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian, kebanyakan penghuni tiada di rumah kerana bekerja.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, namun ia dipercayai berpunca daripada kecuaian tidak menutup api dapur semasa memasak,”katanya.