Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pengusaha parkir haram yang semakin berleluasa khususnya di sekitar kompleks membeli belah di ibu kota.
Pengusaha parkir haram seramai empat orang terdiri daripada warganegara asing berusia dalam lingkugan 30-an seolah-olah menjadikan diri mereka sebagai `penguatkuasa` apabila mengenakan kadar bayaran tertentu pada hari minggu untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Baru-baru ini,Komunitikini mengunjungi salah sebuah kompleks membeli belah dan mendapati terdapat segelintir pengusaha parkir haram yang menyediakan khidmat parkir kenderaan kepada pengguna di sekitar bahu jalan raya.
Mungkin disebabkan faktor kadar bayaran harga meletak kenderaan yang mahal dalam kompleks membeli belah, rata-rata ramai pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di bahu jalan raya tanpa menghiraukan tindakan tersebut jelas bertentangan dengan undang-undang.
Pengusaha parkir haram tersebut turut mengenakan upah bayaran sebanyak RM10.00 kepada pemilik meletakkan kenderaan di bahu jalan
Ketika ditanya daripada aspek jaminan keselamatan meletakkan kenderaan, salah seorang daripada pengusaha parkir memberitahu tidak perlu bimbang kerana kawasan itu berada dibawah jagaan mereka.
Namun tidak sampai lima minit selepas itu muncul penguatkuasa membuat rondaan dan mengeluarkan surat saman kepada kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Pada masa yang sama, kelibat pengusaha parkir haram langsung tidak kelihatan dan mereka lesap begitu sahaja.
Bagi mendapatkan kepastian komunitikini cuba menghampiri penguatkuasa dan bertanyakan apakah tiada tindakan diambil terhadap pengusaha parkir haram.
Ujarnya,sebelum ini pihak berkuasa tempatan pernah mengadakan rondaan dan tangkapan kepada pengusaha parkir haram tetapi menghadapi kesukaran untuk membendung masalah itu.
“Sebagai contoh,tangkapan diadakan pada hujung minggu namun akan muncul semula pengusaha parkir haram yang baru dikawasan parkir tersebut, ini sekali gus menyukarkan kami untuk membanteras pengusaha parkir haram tersebut,”katanya.
Situasi sebegini, sudah pastinya membuatkan pengguna kenderaan yang disaman panas hati dan tertanya-tanya tentang tindak tanduk pengusaha parkir haram selama ini .
Bayangkan pengusaha parkir haram memperolehi pendapatan percuma dengan purata mencecah RM150 sehari dengan cara sedemikian rupa, sangat lumayan bukan?.
Sampai bila kegiatan haram pengusaha parkir haram ini harus dibiarkan berlaku.Apakah tiada tindakan tegas diambil terhadap pengusaha parkir haram?.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan tegas serta langkah drastik mengenakan hukuman berat dalam usaha membanteras pengusaha parkir haram di negara ini.